Pengarah syarikat rugi RM2.95 juta ditipu skim pelaburan dalam talian

LocalBusiness & Finance
12 Jan 2026 • 11:31 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gambar kecil: Asisten Komisioner Azli Mohd Noor

KUALA TERENGGANU – Seorang pengarah syarikat mengalami kerugian hampir RM2.95 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan perniagaan secara dalam talian yang ditawarkan seorang kenalan melalui media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian bermula pada Mei tahun lalu apabila mangsa berusia 66 tahun diperkenalkan dengan peluang pelaburan tersebut oleh individu yang dikenalinya menerusi platform dalam talian.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Tok Jembal, Kuala Nerus dijanjikan pulangan keuntungan antara 10 hingga 25 peratus daripada modal pelaburan sebelum diminta mendaftar perniagaan melalui satu pautan laman web yang diberikan.

"Mangsa turut diarahkan memuat turun satu aplikasi kononnya bagi membolehkan keuntungan pelaburan dimasukkan ke dalam akaun miliknya," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Azli berkata, tertarik dengan pulangan yang ditawarkan, mangsa menggunakan wang simpanan sendiri untuk membuat pelaburan dengan memindahkan wang ke 18 akaun bank berbeza yang diarahkan suspek.

"Keseluruhan transaksi berjumlah RM2,946,799.50 dilakukan dalam tempoh 10 Jun hingga 7 November tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal memindahkan wang daripada platform pelaburan tersebut ke akaun bank peribadinya.

Susulan itu, katanya, mangsa tampil membuat laporan polis pada jam 11.06 pagi Sabtu lalu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved