
PERKEMBANGAN kecerdasan buatan (AI) kini semakin mempengaruhi pelbagai bidang, termasuk dunia kewartawanan yang berdepan perubahan pantas dalam penghasilan dan penyampaian berita.
Daripada membantu menganalisis data, mentranskripsikan temu bual hinggalah mempercepat proses penyuntingan, teknologi berkenaan menawarkan pelbagai kemudahan kepada pengamal media dalam melaksanakan tugasan harian.
Namun, di sebalik kemajuan itu, penggunaan AI turut menimbulkan persoalan berkaitan ketepatan maklumat, etika serta peranan wartawan dalam memastikan setiap berita yang diterbitkan kekal berlandaskan fakta.
Perubahan berkenaan turut memberi kesan kepada bidang kewartawanan apabila teknologi seperti AI, media sosial dan pelbagai platform digital membuka ruang baharu dalam penghasilan serta penyampaian kandungan berita.
Perkembangan itu menjadi antara perkara yang diberi perhatian menerusi International Conference on Communication and Media (i-COME’26) anjuran School of Multimedia Technology and Communication (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini.
Memasuki edisi ke-10, i-COME’26 mengetengahkan tema ‘Navigating Global Communication through Digital Competence for a Sustainable Future’ yang memberi tumpuan kepada kepentingan kecekapan digital dalam menghadapi perubahan komunikasi pada peringkat global.
Menerusi kajian bertajuk Towards a Framework of ChatGPT Use in News Writing: Perspectives from Journalists in Perlis oleh Syed Azlan Sayid Hizar dan Adibah Ismail dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi UUM, penggunaan AI generatif dalam bilik berita semakin berkembang, termasuk bagi tugasan meringkas, menterjemah, merangka dan menyunting teks.
Teknologi berkenaan dilihat mampu meningkatkan kecekapan operasi, mempercepat tugasan serta mengurangkan beban kognitif yang ditanggung wartawan.
Kata Syed Azlan, kajian berkenaan meneliti bagaimana wartawan di kawasan bukan metropolitan, khususnya di Perlis, menggunakan dan menginterpretasikan ChatGPT dalam tugasan penulisan berita harian.
“Kemudahan tersebut turut hadir bersama beberapa risiko, antaranya ketidaktepatan fakta, sumber yang tidak jelas, bias serta kebergantungan berlebihan terhadap teknologi.
“Kebergantungan sedemikian berpotensi menjejaskan kreativiti wartawan, gaya penulisan organisasi dan keupayaan membuat pertimbangan kritikal, khususnya ketika berdepan situasi yang memerlukan penelitian serta pemerhatian secara langsung di lapangan,” katanya dalam pembentangan kajian tersebut dalam acara Programme Book Hybrid Event: BCM, Sarawak & Zoom Meeting baru-baru ini.
Kajian tersebut turut menegaskan kepentingan kawalan berpusatkan manusia dengan teknologi AI berperanan sebagai pembantu dan bukannya pengganti wartawan.
Tugasan berimpak tinggi seperti pelaporan di lapangan, pengesahan petikan kata, pemerhatian secara langsung serta keputusan editorial akhir perlu kekal di bawah tanggungjawab manusia.
Sebagai sumbangan utama kajian, penyelidik memperkenalkan Kerangka VERITAS sebagai prinsip panduan bagi menyokong integrasi AI yang bertanggungjawab dalam kewartawanan.
“VERITAS merangkumi tujuh prinsip utama, iaitu Verification first (pengesahan sebagai keutamaan), Editorial authority (kuasa editorial), Restricted delegation (delegasi terhad), Identity preservation (pemeliharaan identiti),
Transparency (ketelusan), Active monitoring (pemantauan aktif) dan Skill development (pembangunan kemahiran).
“Kerangka berkenaan menekankan bahawa kemajuan teknologi tidak seharusnya menghakis peranan wartawan sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap kandungan berita,” katanya.
Sekadar info, kajian berkenaan melibatkan temu bual mendalam bersama enam wartawan daripada media cetak, dalam talian dan penyiaran di Perlis yang mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya dua tahun.
Data yang diperoleh dianalisis menggunakan kaedah analisis tematik refleksif dengan sokongan perisian NVivo 15.
Hasil menunjukkan wartawan melihat ChatGPT sebagai alat sokongan yang berguna, khususnya bagi kerja penyuntingan, penterjemahan, transkripsi dan pencetusan idea.
The post Pengaruh ChatGPT dalam bidang kewartawanan appeared first on Kosmo Online.
