Pengasas Hausboom pinjam along demi susu anak, dedah perjalanan pahit dibantu rakan sejati. 'Ini zaman gelap aku tak nak kenang...' 

LocalBusiness & Finance
12 Mar 2025 • 10:25 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

SETIAP kejayaan ada kisah di sebaliknya, namun tidak semua sanggup berkongsi sisi gelap perjalanan mereka.

Pengasas Hausboom, Azri Zahier Azmi, mendedahkan bahawa sebelum minuman tempatan itu berjaya menembusi pasaran antarabangsa, beliau pernah berdepan saat paling perit dalam hidup sehingga terpaksa meminjam dengan along untuk meneruskan perniagaan dan menyara keluarganya.

Dalam satu perkongsian menyentuh hati di Facebook, Azri mengimbas kembali zaman kelam itu.

Bukan hanya perlu mempertahankan perniagaan yang sedang bertatih, dia juga terdesak mencari wang untuk membayar sewa rumah dan membeli susu buat anaknya yang baru lahir.

"Ahli keluarga tak pernah tahu perkara ini sampai hari ini, tapi demi nak tutup mulut semua, aku dedahkan sebahagiannya. Aku tulis ini sambil menangis. Demi ALLAH, ini zaman gelap yang aku tak ingin kenang," tulisnya.

Ketika ramai mempersoalkan dari mana modalnya untuk memulakan perniagaan, Azri memilih untuk berterus terang.

Mengakui ia satu keputusan penuh risiko, dia tetap nekad kerana tiada pilihan lain.

Walaupun sedar akan hukum riba, Azri menjelaskan bahawa dia sudah melakukan taubat nasuha dan memohon keampunan kepada ALLAH SWT atas keterlanjurannya dahulu.

"Saya melakukan semua perkara terbabit termasuklah membuat pinjaman wang along selepas membuat pengiraan risiko," jelasnya.

Selain along, Azri menafikan dakwaan bahawa beliau mendapat sokongan kewangan daripada keluarga. Sebaliknya, rakan-rakan sejati yang membantunya bangkit.

“Yang aku ada hanyalah kawan-kawan dari kecil yang percaya pada aku. Mereka pekerja kerajaan yang boleh buat pinjaman, ada yang pemandu lori sampah, kakitangan pusat zakat, pembantu perubatan.

"Ada juga yang sanggup pinjamkan wang ibu mereka untuk aku. Tanpa mereka, mungkin Hausboom tak wujud hari ini," katanya.

Rakan-rakan inilah yang mengumpulkan dana untuk dipinjamkan kepadanya, membantu memastikan Hausboom terus bertahan.

Demi memastikan perniagaannya terus bernyawa antara 2016 hingga 2017, Azri tidak memilih kerja.

Abang kepada pengasas baju Melayu Bulan Bintang pernah menjalankan pelbagai perniagaan kecil-kecilan termasuk menjual kelapa, kambing, ikan, sayur, santan, malah terlibat dalam perdagangan barang-barang minyak dan gas.

Dalam masa yang sama, lelaki tersebut turut mengusahakan sebuah kedai makan untuk menampung perbelanjaan.

"Untuk mengekalkan Hausboom dulu yang baru mula sekitar 2016 hingga 2017, aku banyak buat job trading untuk beranakkan modal," kongsinya.

Hari ini, Hausboom bukan sekadar satu jenama minuman tempatan biasa. Ia sudah menembusi pasaran antarabangsa dan dikenali sebagai antara produk Malaysia yang berjaya di pentas dunia.

Namun, kejayaan ini bukan datang bergolek. Di sebalik sebotol Hausboom yang kini berada di rak-rak pasar raya, ada air mata, keringat dan pengorbanan yang tidak terhitung nilainya.