
JD.com merupakan salah satu perkhidmatan edagang yang besar di China, dan mempunyai ratusan ribu pekerja dibawah mereka. Terbaru, pengasasnya berkongsi berkenaan perkembangan arena robotik, dan menyatakan yang seramai 700,000 pekerja penghantaran mereka kelak akan digantikan oleh robot.
Ini secara tidak langsung memperlihatkan perkembangan arena robotik yang bergerak pantas di negara tersebut, yang akan memberikan kesan perubahan kepada pasaran pekerja. Pengasas JD.com tersebut turut menyasarkan pada masa akan datang, semua tugasan penghantaran dan kurier diuruskan oleh robot sepenuhnya.

Beberapa projek rintis melibatkan penggunaan penghantaran robot telah mula dilakukan di beberapa lokasi di China, sekaligus menguji keupayaan robot serta penerimaan orang ramai.
Walaubagaimanapun, perkembangan arena ini juga akan membawa kepada beberapa bentuk permintaan pekerjaan baharu, terutamanya dari segi baik-pulih robot. Pengasas JD.com mengatakan robot adalah mesin, dan ia memerlukan orang untuk membaik-pulihnya. JD.com sedia memeterai perjanjian kerjasama dengan sekitar 120 sekolah dalam usaha untuk melatih para penghantar mereka dalam membaik-pulih dan menyelenggara robot – sekaligus memastikan pekerja penghantaran mereka kekal mempunyai kerja pada era robotik kelak.
Untuk rantau Asia Tenggara sendiri, pihak Grab dilihat agak aktif melabur dalam syarikat memfokuskan roboteksi dan swapandu, sekaligus memperlihatkan langkah awal mereka dalam bersedia kepada era pemandu tanpa manusia.

