Pengasas xAI Meninggalkan Syarikat Untuk Membuka Firma Kajian AI

TechnologyStartup
14 Aug 2025 • 9:07 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Anda mungkin tidak kenal dengan nama Igor Babuschkin tetapi beliau ialah pengasas xAI bersama dengan Elon Musk pada tahun 2023. Walaupun tidak ternama seperti Musk, Babuschkin ialah ketua kejuruteraan xAI dengan beliau sebelum itu adalah ketua pembangun AlphaStar di Google DeepMind. Awal pagi ini di X, beliau mengumumkan telah meninggalkan xAI bagi membuka sebuah syarikat baharu Babuschkin Ventures.

image is not available

Babuschkin Ventures ialah syarikat pemula yang melakukan kajian keselamatan kecerdasan buatan (AI) dengan ia akan menyokong syarikat yang membangunkan AI dan ejen bagi memajukan tamadun manusia.

Menurut Babuschkin, keputusan meninggalkan xAI dilakukan selepas melakukan pertemuan dengan Max Tegmark, pengasas Future of Life Institute. Dalam pertemuan tersebut beliau disoal mengenai bagaimana beliau boleh membangunkan AI dengan selamat bagi memastikan anak-anak di zaman hadapan dapat terus berkembang.

Walaupun meninggalkan xAI secara mengejut, Elon Musk berterima kasih kepada Babuschkin kerana membangunkan syarikat. xAI dan Tesla sejak setahun kebelakangan ini kehilangan beberapa eksekutif tertinggi secara berturutan. Hanya seminggu lalu pasukan superkomputer Dojo di Tesla dibubarkan selepas ketua pasukan dan 20 kakitangan lain berhenti untuk turut membentuk syarikat AI mereka sendiri.