Pengasuh Didakwa Bunuh Kanak-Kanak Perempuan 3 Tahun

12 Mar 2025 • 1:50 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Suspek menangis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan hari ini - Gambar BERNAMA

KUANTAN - Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, bulan lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Nur Nabilah Sekh Ruslan, 32, berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa menyebabkan kematian kanak-kanak itu di sebuah rumah di Bukit Rangin Damai, Perumahan Bukit Rangin di sini antara 6 petang hingga 8 malam 17 Februari lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum dengan minimum 12 selbatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Abdul Wahab manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Ellyna Othman kemudian menetapkan 15 Mei depan untuk sebutan semula kes dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Pada 27 Februari lepas, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan pada 20 Februari lepas dipercayai akibat didera, yang menyaksikan enam individu berusia lingkungan 17 hingga 44 tahun ditahan bagi membantu siasatan. - BERNAMA