Pengasuh sarat hamil, ibu didakwa aniaya anak asuhan hingga cedera

LocalFamily & Parenting
10 Apr 2026 • 12:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Saranya (kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat bagi menghadapi pertuduhan kes aniaya anak asuhannya beberapa bulan lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang pengasuh yang sarat mengandung sembilan bulan dan ibunya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan menganiaya seorang anak asuhannya sehingga mangsa mengalami kecederaan di paha dan kemaluan beberapa bulan lalu.

A Saranya, 28, dan ibunya, P Seroja, 64, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mazuliana Abdul Rashid.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun tujuh bulan, telah menganiayainya sehingga mangsa mengalami kecederaan pada anggota badan tersebut.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah unit kediaman di Jalan Pudu Impian antara Februari hingga 3 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ravindejit Kaur tidak mencadangkan kedua-dua tertuduh diberi ikat jamin.

Bagaimanapun, beliau berkata pendakwaan mencadangkan mereka dikenakan kadar ikat jamin yang tinggi sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan.

Sementara itu, peguam, Mohammad Arifin Abdul Wahab merayu agar anak guamnya dikenakan jaminan rendah dengan alasan Saranya akan melahirkan anak keenam dalam masa terdekat dan Seroja yang tidak bekerja pula menghidap penyakit darah tinggi.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Mazuliana membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

“Kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan, tidak mengganggu mangsa, keluarganya dan saksi pendakwaan.

“Mahkamah menetapkan sebutan semula kes dan serahan dokumen pada 18 Mei depan,” katanya.