'Pengasuh taska bedung bayi saya, sumbat botol susu, tekup bantal' - Bapa

LocalFamily & Parenting
6 Sep 2024 • 9:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Fikry Amri ketika ditemui pemberita di pekarangan Unit Forensik Hospital Alor Gajah, di sini, pada malam Jumaat.

image is not available
Sebahagian waris dan rakan taulan yang hadir ke pekarangan Unit Forensik Hospital Alor Gajah, di sini, pada malam Jumaat.

image is not available
Muhammad Al Fateh Amri meninggal dunia ketika dihantar di sebuah taska.

ALOR GAJAH - "Dia bedung anak saya, sumbat botol susu, tutup dengan kain dan ditekup dengan bantal," kata bapa kepada bayi lapan bulan yang maut di taman asuhan kanak- kanak (Taska) Taman Kelemak Utama, Mejar Ir TS Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39.

Mohd Fikry Amri yang berkhidmat di Kem Perdana Sungai Besi berkata, tindakan tidak berperikemanusiaan pengasuh di taska itu terhadap bayinya, Muhammad Al Fateh Mohd Fikry Amri dilihat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat jagaan itu bersama pihak polis.

Dia berkata, isterinya, Sabrina Hakiem Zaini, 39, menerima panggilan daripada pihak taska lebih kurang jam 9 pagi yang memaklumkan bayi lelakinya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Katanya, sebelum dihantar ke taska oleh isterinya kira-kira jam 7 pagi, arwah yang telah pandai merangkak dalam keadaan sihat.

"Saya harap perkara diambil tindakan supaya tak jadi kepada orang lain pada anak-anak lain.

"Sebab benda ini tak patut berlaku, selama ini saya ingat taska itu ada lesen sebab dah beroperasi empat tahun, bila siasat dengan polis rupanya tak ada lesen itu yang agak terkilan," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Alor Gajah, di sini, pada Jumaat.

Tambahnya, mereka menunggu selama 13 tahun untuk mendapatkan zuriat pertama, namun tidak menyangka nyawa anak tunggalnya itu diragut dalam keadaan tragis.

Ujarnya, perbuatan tersebut disyaki dilakukan oleh pengasuh berusia 34 tahun mungkin kerana anaknya agak lasak.

Katanya, apa yang menyedihkan isteri saya terpaksa membawa sendiri anaknya ke hospital dalam keadaan terkulai dan tidak sedarkan diri dengan keadaan mulut berdarah dan muka biru.

"Mungkin dia tak suka sebab itu dia bendung untuk memudahkan kerja, saya nampak macam itu.

"Saya boleh terima sekiranya anaknya itu meninggal dunia disebabkan tersedak susu atau terjatuh kerana ia di luar kawalan, namun kesal sebaliknya berlaku," katanya.

Difahamkan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kelemak setelah selesai proses bedah siasat pada malam Jumaat.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan seorang bayi lelaki berusia lapan bulan dipercayai meninggal dunia di sebuah taman asuhan kanak-Kanak (Taska) di Taman Kelemak Utama di sini, pada petang Jumaat.

Difahamkan bayi sulung dipercayai kepada pasangan suami isteri seorang pegawai tentera dan guru itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.

Tinjauan Sinar Harian di taska berkenaan mendapati pasukan forensik tiba di taska terbabit pada jam 7.05 petang bagi melakukan pemeriksaan lanjut berhubung kejadian.