
Pengawal Keselamatan Dipenjara 10 Tahun, Lima Sebatan Rogol Wanita OKU
JOHOR BAHRU, 27 Mac (Bernama) -- Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah merogol seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU).
Hakim Madihah Zainol menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, 39, dan memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan selain berada di bawah pengawasan polis selepas selesai menjalani hukuman.
Lelaki itu didakwa merogol seorang wanita berusia 29 tahun yang diketahuinya mempunyai kecacatan fizikal melibatkan pendengaran, pertuturan serta lembam pembelajaran di Skudai, dalam daerah Iskandar Puteri pada 11.50 malam, 30 Jan lepas.
Bau Busuk Bawa Penemuan Mayat Tiga Sekeluarga Di Merbok
“Kalau Kes Dakwaan Rogol Berjaya Dibuktikan Suka Sama Suka, Jadi Tiada Dakwaan Rogol, Kan?”, Ini Jawapan Peguam
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(K) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Fadilah Johanuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atas alasan tertuduh telah mengambil kesempatan terhadap mangsa OKU.
“Selain itu, pihak pembelaan memaklumkan tertuduh menghidap HIV. Perbuatan itu menyebabkan mangsa berisiko dijangkiti penyakit kelamin,” katanya.
Peguam Omar Kutty Abdul Aziz yang mewakili lelaki itu merayu hukuman ringan kerana anak guamnya menghidap HIV dan leukemia yang memerlukan rawatan berterusan, selain ini merupakan kesalahan pertamanya.


