
TAWAU: Pengawal keselamatan SK Balung tampil membuat laporan polis menafikan “cubaan menculik” seorang murid pada Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, pengawal keselamatan itu membuat laporan itu pada jam 3.26 petang Jumaat.
Justeru, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak mudah mempercayai ‘maklumat’ dibaca atas talian dan menyemak kesahihannya sebelum membuat sebarang kesimpulan serta pandangan mengenai isu tersebut.
Menurutnya, pihaknya menerima pelbagai pertanyaan berkaitan isu yang tular kononnya berlaku cubaan menculik seorang murid prasekolah di SK Balung Tawau pada 1 Ogos lalu.
“Polis mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perjumpaan bersama pihak sekolah, ibu bapa dan murid yang dikatakan terlibat (sebagai mangsa) untuk mengetahui kejadian sebenar,” katanya dalam kenyataan, Sabtu.
Terdahulu, mesej tular melalui WhatsApp itu menyatakan kejadian didakwa berlaku pada 1 Ogos lepas pada waktu petang (masa tidak dinyatakan) dan sasaran penculik ialah seorang murid prasekolah. Mesej itu juga menyatakan cubaan menculik digagalkan selepas disedari seorang guru (ustaz) dan pengawal keselamatan sekolah tersebut.
Penculik didakwa cuba mengumpan mangsa kanak-kanak prasekolah dengan memberi gula-gula serta wang, malah cuba menarik tangan mangsa selepas murid itu menolak pujukannya.
Di akhir mesej tersebut, ia memberi peringatan supaya semua pihak mengawasi anak-anak kerana kes itu disifatkan sebagai jenayah serius ketika ini.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
