Pengecualian cukai jualan kenderaan dilanjutkan hanya untuk pendaftaran, sehingga 31 Mac 2023

Cars
20 Jun 2022 • 3:06 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Salah satu inisiatif kerajaan untuk meringankan beban rakyat Malaysia sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, adalah dengan memberikan pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang. Pengecualian ini diberikan untuk pembelian dan pendaftaran kenderaan, selewat-lewatnya pada 30 Jun 2022.

Hari ini, Menteri Kewangan mengumumkan bahawa tarikh tempahan kenderaan untuk layak menerima pengecualian cukai ini masih kekal sehingga 30 Jun 2022, tetapi tarikh pendaftaran dilanjutkan sehingga tahun hadapan, 31 Mac 2023. Ia akan memberi manfaat kepada lebih 264,000 kenderaan yang telah ditempah tetapi masih belum dapat dihantar kepada pembeli atas pelbagai sebab.

Walaupun sektor automotif telah kembali beroperasi seperti biasa selepas pembukaan sektor ekonomi, terdapat sejumlah permintaan yang masih belum dapat dipenuhi ekoran gangguan kepada rantai bekalan global. Pada masa yang sama, seluruh dunia sedang menghadapi masalah kekurangan cip mikro semikonduktor yang digunakan secara meluas merentas beberapa industri termasuk industri automotif.

Zafrul menjelaskan, lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan ini merupakan satu penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pasca-pandemik bagi memastikan kebajikan rakyat dan kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara.

Pengecualian cukai jualan kenderaan ini sepenuhnya 100% ke atas kenderaan penumpang pemasangan tempatan (CKD) termasuk MPV dan SUV. Manakala kenderaan penumpang import (CBU) diberikan pengecualian cukai jualan sebanyak 50%. Kementerian Kewangan mencatatkan sebanyak 868,422 unit kenderaan telah terjual dan manfaat pengecualian cukai kepada rakyat berjumlah RM4.7 bilion.

Jika anda telah menangguhkan hasrat membeli kenderaan kerana risau tidak sempat mendaftar sebelum 30 Jun 2022, maka anda boleh menyambung kembali hasrat itu dan membuat tempahan sekarang. Cuma pastikan kenderaan tersebut didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum 31 Mac 2023.

Bacaan Berkaitan