Pengeluaran getah asli melonjak 6.8% kepada 25,062 tan pada Mei 2023 - DOSM

Business & Finance
10 Jul 2023 • 3:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengeluaran getah asli melonjak 6.8% kepada 25,062 tan pada Mei 2023 - DOSM

zulfadli

10/07/2023 - 15:22

KUALA LUMPUR 10 Julai - Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 6.8% kepada 25,062 tan metrik pada bulan Mei 2023 berbanding 23,460 tan metrik pada bulan April 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Selain itu, perbandingan tahun ke tahun getah asli menunjukkan peningkatan 20.2% daripada 20,857 tan metrik pada Mei 2022.

"Pengeluaran getah asli Malaysia pada Mei 2023 disumbangkan kebanyakannya oleh sektor pekebun kecil (86.3%) berbanding sektor estet (13.7%)," kata DOSM dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Bagaimanapun, jumlah stok getah asli pada Mei 2023 menurun 11.4% kepada 172,263 tan metrik berbanding 194,464 tan metrik pada April 2023, kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.4% diikuti kilang pengguna getah (7.5%) dan estet getah (0.1%).

Eksport getah asli Malaysia berjumlah 37,062 tan metrik pada Mei 2023 menurun 1.8% berbanding sebanyak 37,728 tan metrik pada April 2023.

China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 41.9 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Mei 2023 diikuti Jerman (16.3%), Pakistan (3.7%), Türkiye (2.9%) dan Portugal (1.6%).

"Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom. Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1 billion pada Mei 2023, meningkat 28.6% berbanding RM0.8 billion pada April 2023," katanya.

image is not available

Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan penurunan iaitu 1.3% (Mei 2023: 488.76 sen sekilogram; April 2023: 495 sen sekilogram) manakala sekerap meningkat 2.8% (Mei 2023: 478.02 sen sekilogram; April 2023: 465.21 sen sekilogram).

Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (SMR) pula adalah dalam keadaan bercampur iaitu menurun 1.2% serta meningkat 2.2%, lapor Bernama.

Sementara itu, berdasarkan laporan Malaysia Rubber Board Digest pada Mei 2023, sentimen positif pasaran getah Kuala Lumpur didorong oleh beberapa faktor termasuk perkembangan positif rundingan had siling hutang di Amerika Syarikat (AS), penurunan pengeluaran getah asli tempatan akibat fenomena gelombang haba dan nilai ringgit yang lemah berbanding dolar AS. - DagangNews.com