Pengeluaran Proton Saga Di Kilang Shah Alam Ditamatkan

LocalCars
28 Sep 2025 • 9:15 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

‘Kehangatan’ pelancaran Proton Saga yang terbaru atau ‘MC3’ kian terasa. Awal hari ini, Carz.com.my terlihat satu perkongsian oleh kakitangan Proton (di sini) yang mendedahkan bahawa pengeluaran bagi Proton Saga keluaran semasa di Shah Alam kini telah tiba di penghujung. Unit terakhir tersebut dikeluarkan pada hari Jumaat, 26 September baru-baru ini.

image is not availableimage is not available

Antara foto yang dikongsikan oleh orang dalaman Proton di Facebook.

Bukan hanya pengakhiran bagi model Proton Saga semasa, tetapi tarikh yang sama juga menandakan penamatan operasi kilang Shah Alam Proton setelah mengeluarkan kenderaan hampir 40 tahun.

Proton kini akan memberikan tumpuan kepada pengeluaran di kilang terbaru yang terletak di Tanjong Malim, Perak. Kilang ini dilengkapi dengan barisan pengeluaran khas untuk kenderaan elektrik (EV). Ini bermakna pengeluaran model pengganti Saga itu juga, akan dibuat sepenuhnya di kilang baharu.

Apa Yang Kita Tahu Tentang Proton Saga MC3 Setakat Ini?

Teaser Saga versi terbaru itu pernah didedahkan semasa majlis pelancaran barisan pengeluaran EV awal bulan ini, di samping maklumat lain yang pernah tersebar sebelumnya.

image is not available

Lakaran Proton Saga MC3 oleh pelukis rekaan digital, @theottle (Chin Swee Hoe). Baru-baru ini, Proton mengesahkan bahawa Saga baharu akan menggunakan platform AMA yang telah dipertingkatkan dengan penambahbaikan ketara.

Saga baharu ini dikhabarkan akan menggunakan platform AMA yang telah diberikan penambahbaikan besar-besaran, dilengkapi dengan sistem elektrik dan elektronik (E&E) lebih canggih yang menyokong ciri-ciri bantuan pemandu canggih (ADAS).

Model ini juga dijangka menampilkan enjin 1.5 liter baharu, kemungkinan besar berkongsi teknologi dengan Proton X50 facelift yang terkini. Berdasarkan memo dari pengedar yang bocor di alam maya, sistem transmisi automatik jenis CVT juga mungkin akan kembali digunakan.

image is not available

Sudut belakang lakaran Saga MC3 oleh @theottle.

Sementara itu di ruang kabin, Saga MC3 akan tampil dengan wajah baharu bersama paparan instrumen digital serta sistem infotainmen lebih canggih, terutamanya untuk varian berspesifikasi tinggi. Maklumat lanjut masih belum didedahkan.

Masih Banyak Stok Saga Sedia Ada

image is not available

Stok Saga generasi semasa masih cukup untuk memenuhi permintaan pembeli walaupun pengeluaran telah ditamatkan.

Buat masa ini, Saga sedia ada masih ditawarkan di laman rasmi Proton menandakan stok masih mencukupi di pusat-pusat pengedaran. Saga yang kini ditawarkan di pasaran dijual pada harga bermula serendah RM34,800 untuk varian 1.3 Standard MT dan RM38,800 bagi 1.3 Standard AT.

Ada yang tengah mempertimbangkan untuk beli Proton Saga? Jangan buang masa, inilah masa yang terbaik kalau anda nak dapatkan ‘harga promo' sebelum Saga terbaru dilancarkan menjelang hujung tahun ini.