Pengeluaran rendah punca untung Sarawak Oil Palms susut 31% bagi 1QFY26 — RHB Research

LocalBusiness & Finance
27 Apr 2026 • 12:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengeluaran rendah punca untung Sarawak Oil Palms susut 31% bagi 1QFY26 — RHB Research Image from: Pengeluaran rendah punca untung Sarawak Oil Palms susut 31% bagi 1QFY26 — RHB Research amree27/04/2026 - 12:25 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 April — Kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) susulan konflik geopolitik di Timur Tengah gagal menghalang penyusutan keuntungan Sarawak Oil Palms Berhad pada suku pertama.


Menurut RHB Research, situasi itu sekali gus menimbulkan persoalan terhadap hala tuju jangka pendek syarikat perladangan tersebut apabila keuntungan teras merosot sebanyak 31% suku ke suku (QoQ).


Ujarnya, ia juga jatuh 14.7% tahun ke tahun (YoY), disebabkan pengeluaran tandan buah segar (TBS) yang lebih rendah serta harga purata jualan (ASP) untuk MSM didapati lemah dalam tempoh tersebut.


"Bagaimanapun, prestasi ini masih dianggap selari dengan jangkaan, memandangkan suku pertama FY26 kelazimannya lebih perlahan dan pemulihan dijangka berlaku dalam bulan-bulan berikut," katanya.


Sehubungan itu, RHB Research menjangkakan prestasi Sarawak Oil Palms bertambah baik pada suku seterusnya, disokong kenaikan harga MSM sekitar 15% sejak bermulanya ketegangan di Timur Tengah.


Pengeluaran TBS juga menunjukkan tanda pemulihan apabila meningkat 8.5% bulan ke bulan (MoM) pada Mac 2026, dengan pengurusan syarikat mengekalkan sasaran pertumbuhan 3% bagi tahun kewangan 2026.


Selain itu ujar firma berkenaan, pengeluaran MSM dan isirung sawit (PK) masing-masing meningkat 9.7% dan 14.9% YoY, didorong kadar perahan minyak yang lebih tinggi serta bekalan TBS dari luar.


"Cabaran utama Sarawak Oil Palms namun kekal pada kos input yang naik, khususnya baja, apabila 70% keperluan dibeli pada harga 15% hingga 20% lebih tinggi berbanding tahun lalu," kata RHB Research.

 

Sarawak Oil Palms_DagangNews


Baki sebanyak 30% keperluan baja berkenaan jelasnya, masih lagi terdedah secara luas kepada faktor ketidaktentuan bekalan dan masalah pelarasan harga semasa dalam pasaran yang turut semakin ketat.


Walaupun begitu tambah firma penyelidikan tersebut, pengurusan kumpulan perladangan itu optimis dapat mengekalkan kos unit pada paras stabil melalui usaha penstrukturan dan kecekapan operasi.


Sementara itu ujar RHB Research, bagi segmen hiliran, Sarawak Oil Palms dijangka berupaya kekal menguntungkan, dengan fokus kepada pasaran dan pembeli yang berkualiti lebih tinggi di luar India.


"Margin namun dijangka kemungkinan besar adalah sedikit tertekan susulan persaingan yang semakin sengit serta perubahan levi eksport Indonesia bermula Mac 2026 memberi kesan negatif," katanya.


Berdasarkan kepada perkembangan semasa, firma berkenaan terus mengekalkan penarafan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM4.25 sesaham, sementara menunggu semakan semula unjuran harga MSM terkini.


Pada masa ini jelas RHB Research, saham Sarawak Oil Palms diniagakan 8.7 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) bagi unjuran FY26, iaitu di hujung bawah julat rakan setara sebanyak 12 kali.


Firma itu turut menyatakan bahawa sekiranya harga MSM berada dalam lingkungan RM4,400 hingga RM4,500 satu tan, nilai saksama saham berpotensi meningkat kepada antara RM5.30 hingga RM5.80.


"Syarikat tersebut turut mengumumkan dividen akhir sebanyak 6 sen bagi FY25, menjadikan jumlah dividen tahunan 18 sen sesaham dengan kadar pembayaran 33% dan hasil sekitar 3.8%," tambahnya.


Secara keseluruhan, RHB Research melihat prospek jangka sederhana Sarawak Oil Palms kekal positif, disokong pemulihan harga MSM dan asas operasi stabil meskipun berdepan tekanan kos. - DagangNews.com

Terkini standard