
KUALA LUMPUR 22 Dis – PGF Capital Bhd, dijangka mencatat pertumbuhan kukuh pada beberapa tahun akan datang berikutan pengembangan kapasiti pembuatan dan projek hartanah strategik, menurut RHB Research.
Syarikat pengeluar penebat itu kini mempunyai kapasiti pembuatan sebanyak 25,000 tan dan sedang membina kilang baharu di Kulim, Kedah.
Kilang baharu itu akan menambah kapasiti pengeluaran kepada 40,000 tan dan dijangka siap pada separuh kedua 2026.
RHB Research berkata, kilang baharu tersebut menikmati insentif cukai sifar selama lima tahun yang boleh dilanjutkan lagi lima tahun untuk produk Ecowool, dijangka mempertingkatkan pulangan pelaburan dan memendekkan tempoh pulangan projek.
“Selain itu, PGF memiliki tanah seluas 1,311 ekar di Tanjong Malim, Perak yang sedang dibangunkan secara berperingkat menerusi projek Diamond Creeks Country Retreat (DCCR).
“Projek ini berpotensi mencapai nilai pembangunan kasar sehingga RM3 bilion, kerana ia berhampiran Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) dan boleh menampung kekurangan penginapan untuk pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Fasa pertama projek kediaman DCCR dengan GDV RM300 juta dijangka dilancarkan pada 2026, manakala projek campuran di Kulim Hi-Tech Park dengan GDV RM600 juta dijangka bermula pada separuh pertama 2026.
RHB Research berkata projek hartanah ini dijangka mula menyumbang kepada keuntungan PGF mulai tahun kewangan 2027 walaupun syarikat hanya memiliki 51 peratus saham dan tidak menguruskan projek secara langsung.
"Dalam segmen pembuatan, PGF juga bekerjasama dengan Centria International untuk mengedar produk penebat mineral wool, membolehkan syarikat menawarkan penyelesaian penebat bernilai tambah untuk bangunan komersial dan industri.
“Syarikat juga memberi tumpuan kepada sasaran ESG melalui penghasilan produk penebat daripada kaca kitar semula sehingga 80 peratus, yang mengurangkan pelepasan karbon dan sejajar dengan sasaran sifar karbon global.
“Lebih 70 peratus hasil pembuatan PGF diperoleh daripada eksport, terutamanya ke Australia dan New Zealand manakala Malaysia menyumbang sekitar 30 peratus,” kata firma tersebut.
Unjuran kewangan syarikat menunjukkan EPS CAGR tiga tahun dijangka 51 peratus dengan potensi kenaikan harga saham sebanyak 67 peratus berdasarkan nilai wajar SOP RM3.04.
Syarikat mensasarkan pembayaran dividen sekurang-kurangnya 25 peratus daripada keuntungan bersih, yang boleh memberikan hasil 2–3 peratus kepada pelabur.
PGF juga mempunyai projek pertanian dan pelancongan berasaskan pertanian sebagai aset tambahan termasuk ladang buah tropika dan pusat akuakultur yang berpotensi menyumbang sehingga RM40 juta setahun pada masa hadapan. - DagangNews.com


