Pengembangan rangkaian, UOBKH percaya pendapatan terkumpul Time Dotcom terus bertambah

LocalBusiness & Finance
16 Apr 2025 • 11:17 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengembangan rangkaian, UOBKH percaya pendapatan terkumpul Time Dotcom terus bertambah

image is not available

16/04/2025 - 11:17

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 16 April - TIME Dotcom Bhd dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 9% untuk pendapatannya dalam tempoh tiga tahun akan datang, didorong oleh pengembangan rangkaian dan disiplin kos.

UOB Kay Hian Research (UOBKH Research) berkata, perbelanjaan modal tahunan (capex) antara RM400 juta hingga RM500 juta akan menyokong rancangan pengembangan rangkaian penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu dengan fokus utama diberikan kepada unit kediaman tunggal di kawasan pembangunan sedia ada serta kawasan baharu.

Firma penyelidikan itu berkata, saham syarikat itu menawarkan dividen menarik dengan hasil dividen bersih dijangka 6.5% disertai dengan prospek pendapatan yang kukuh.

UOBKH Research mengekalkan saranan "beli" untuk saham syarikat itu dengan harga sasaran RM6.

"Kami menjangka Time akan terus mengekalkan margin keuntungan yang baik dalam tiga tahun akan datang, sejajar dengan margin keuntungan sebanyak 28%yang dicatatkan pada tahun lalu.

"Dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 15% hingga 17% untuk liputan isi rumah, syarikat sasarkan untuk menambah antara 200,000 hingga 250,000 unit rumah setiap tahun," katanya dalam satu nota kajian.

Rancangan pengembangan itu akan disokong oleh peningkatan berperingkat dalam jejak rangkaian, sama ada di kawasan pembangunan baharu atau sedia ada.

UOBKH Research turut menjangka syarikat itu akan meningkatkan pelaburan capex untuk unit kediaman tunggal atau hartanah bertanah, dengan keutamaan diberikan kepada kawasan yang telah mempunyai rangkaian sedia ada seperti Lembah Klang, Johor Bahru, dan Pulau Pinang.

Bagi pengembangan di kawasan pembangunan baharu, tinjauan menunjukkan pengguna masih belum mengenali produk atau perkhidmatan Time yang boleh menyebabkan kadar pengambilan pelanggan lebih rendah pada peringkat awal.

"Oleh itu, Time merancang untuk menembusi pasaran ini melalui pendekatan dua hala iaitu jualan langsung dan jualan tidak langsung yang lebih kos efektif, termasuk melalui kerjasama dengan pengendali rangkaian mudah alih," katanya.

Mengenai kesan gempa bumi yang berlaku baru-baru ini di Myanmar, UOBKH Research melaporkan walaupun Time tidak mempunyai pendedahan langsung di Myanmar, operasi mereka di Thailand sedikit terjejas akibat bencana alam itu.

Namun, gangguan operasi yang dialami oleh Time hanya bersifat kecil, tanpa sebarang isu besar berkaitan sambungan.

"Kami tidak menjangkakan sebarang impak kewangan yang material akan diiktiraf dalam suku semasa," kata firma penyelidikan itu.- DagangNews.com

standard