Pengerusi bersama dua anggota lembaga pengarah Jetson letak jawatan secara mengejut

24 Nov 2023 • 3:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengerusi bersama dua anggota lembaga pengarah Jetson letak jawatan secara mengejut

johardy

24/11/2023 - 15:30

KUALA LUMPUR 24 Nov - Tidak sampai dua bulan dilantik, Dato' Tengku Ibrahim Farihaddin Dato' Tengku Feissal melepaskan jawatan sebagai pengerusi kumpulan syarikat penyedia perkhidmatan bagi sektor pembinaan dan perkilangan, Kumpulan Jetson Berhad berkuat kuasa Khamis.

Turut melepaskan jawatan ialah Datuk Mohd Efendi Omar sebagai anggota Lembaga Pengarah syarikat, juga mulai Khamis dan Muhammad Badri Mukhtar yang meninggalkan syarikat pada 20 November lalu.

Tengku Ibrahim Farihaddin, 48, baharu dilantik sebagai Pengerusi kumpulan dan Mohd Efendi sebagai pengarah bebas bukan eksekutif baharu pada 6 Oktober lalu.

Kesemua mereka menyatakan alasan hanya `mencari kepentingan lain di bidang berasingan', dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

Pelantikan Tengku Ibrahim Farihaddin sebelum ini, yang merupakan kerabat diraja Kelantan, menurut Jetson, disebabkan Datuk Teh Kian An, 75, pengasas syarikat yang menguasai 6.10% kepentingan telah meletak jawatan Pengerusi Eksekutif atas sebab-sebab kesihatan.

image is not available
Datuk Teh Kian An

Mohd Efendi pula dikaitkan dengan Datuk Johari Ghani, dengan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Operasi di Media Prima Berhad sejak 2020.

Tidak dapat dipastikan apakah tindakan Mohd Efendi sebagai mengikut arahan Datuk Jo, setelah usaha menghubungi beliau belum berjaya. - DagangNews.com