Pengerusi Eksekutif PwC Malaysia dipilih menerajui 30% Club, lebih suku lembaga pengarah PLC kini adalah wanita

Business & Finance
22 Feb 2024 • 4:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengerusi Eksekutif PwC Malaysia dipilih menerajui 30% Club, lebih suku lembaga pengarah PLC kini adalah wanita

herman

22/02/2024 - 16:56

KUALA LUMPUR 22 Feb - 30% Club Malaysia mengumumkan pelantikan Pengerusi Eksekutif PwC Malaysia, Nurul A'in Abdul Latif sebagai Pengerusi baharunya.

Menerusi pelantikan tersebut, Nurul A'in akan memimpin usaha memajukan pemimpin wanita di lembaga korporat dan pasukan pengurusan di Malaysia.

Menurut data sehingga 1 Januari 2024, sebanyak 30.9% daripada jumlah kerusi lembaga pengarah di dalam 100 syarikat senaraian awam (PLC) teratas Malaysia adalah wanita.

Data Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) itu juga menunjukkan 25.6% daripada jumlah kerusi lembaga pengarah bagi PLC di Malaysia adalah wanita.

Pengerusi Pengasas 30% Club Malaysia, Tan Sri Zarinah Anwar berkata, sejak ditubuhkan pada 2015, organisasi ini telah berusaha untuk meningkatkan perwakilan wanita dalam lembaga pengarah dan pengurusan PLC Malaysia.

Katanya, pencapaian ambang minimum 30% untuk 100 PLC teratas pada Jun 2023 merupakan peristiwa penting, memberikan dorongan yang lebih besar untuk memacu kesetaraan di dalam bilik mesyuarat.

"Angka 30% bukan siling, ia adalah minimum; titik permulaan ke arah mencapai kesetaraan sebenar dalam lembaga pengarah, mengiktiraf wanita berbakat dan cekap dengan memastikan padang permainan yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Zarinah mengalu-alukan pelantikan Nurul A'in sebagai Pengerusi baharu berkuat kuasa hari ini.

"Saya yakin beliau akan terus memacu misi kami dengan keazaman, memperhalusi strategi untuk mencapai keseimbangan jantina dalam lembaga pengarah sambil memupuk budaya keterangkuman.

"Perkongsian dengan PwC Malaysia sebagai penaja korporat baharu kami ini menekankan peranan penting yang dimainkan oleh syarikat tempatan dalam memajukan inisiatif kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI)," jelasnya sambil menambah perjalanan ke arah mencapai kesetaraan sebenar adalah panjang.

Dalam pada itu, Nurul A'in berkata, menggalakkan penyertaan kepelbagaian sentiasa menjadi bahagian penting dalam nilai dan strategi PwC.

"Saya berbesar hati untuk mengambil peranan ini di 30% Club Malaysia dan bekerja bersama ramai lagi untuk mendapatkan sokongan daripada pemimpin perniagaan di Malaysia, dalam misi untuk terus meningkatkan keterangkuman dalam lembaga pengarah dan di peringkat pengurusan kanan,” katanya.

Nurul A'in mempunyai pengalaman selama 28 tahun bekerja dengan beberapa syarikat tersenarai awam terbesar di Malaysia dalam hal audit dan nasihat perniagaan, serta pelanggan rentas sempadan yang berkhidmat selama dua tahun di UK.

Berkelulusan Ijazah Perakaunan Universiti Malaya (UM), beliau yang menguasai tiga bahasa, juga kini berkhidmat sebagai Ahli Majlis Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA).- DagangNews.com