Pengerusi MARA ‘Tebuk’ Hafazan Penuntut MRSM Ulul Albab Di New Zealand, Siap Bagi Ganjaran AS$100

22 Feb 2026 • 9:25 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

LUAR NEGARA – Lawatan rasmi Majlis Amanah Rakyat (MARA) ke luar negara kali ini bertukar santai apabila Pengerusinya, Asyraf Wajdi Dusuki sempat menguji hafazan bekas penuntut Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab yang kini menyambung pengajian di New Zealand.

Menerusi perkongsian di media sosial, beliau berseloroh bertanya siapa dalam kalangan penuntut yang merupakan lepasan MRSM Ulul Albab, namun suasana pada awalnya agak sunyi.

“Siapa di sini bekas pelajar MRSM Ulul Albab? Kenapa semua diam? Tak berani mengaku ke… takut saya ‘tebuk’ ya?” katanya bersahaja.

Ujian Hafazan Bertukar Momen Bermakna

Selepas beberapa ketika, seorang penuntut lelaki tampil menyahut cabaran dan berjaya menjawab ujian hafazan al-Quran dengan lancar tanpa tersekat-sekat.

Sebagai tanda penghargaan, Asyraf Wajdi menghadiahkan ganjaran sebanyak AS$100 kepada penuntut berkenaan, sekali gus menceriakan suasana pertemuan tersebut.

Difahamkan, program Ulul Albab di MRSM menekankan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan penguasaan hafazan al-Quran, menjadikan lepasan program ini sinonim dengan pencapaian seimbang dunia dan akhirat.

Tinjau Kebajikan Penuntut Di Perantauan

Dalam rangka lawatan sama, Asyraf Wajdi turut beramah mesra bersama penuntut di University of Canterbury selain meninjau rumah sewaan penuntut MARA bagi melihat sendiri keadaan kediaman serta aspek kebajikan mereka.

Beliau turut menitipkan pesanan agar para penuntut sentiasa menjaga solat, istiqamah membaca al-Quran dan mengekalkan jati diri sebagai anak Malaysia walaupun berada jauh di perantauan.

Menurut beliau, MARA komited untuk terus memastikan kebajikan serta perkembangan akademik penuntut tajaan di luar negara sentiasa diberi perhatian sewajarnya. – The Malaysian Update

The post Pengerusi MARA ‘Tebuk’ Hafazan Penuntut MRSM Ulul Albab Di New Zealand, Siap Bagi Ganjaran AS$100 appeared first on The Malaysian Update.