Pengerusi persatuan antara dua ditahan kes pecah amanah

16 Jun 2022 • 4:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

AMPANG - Dua lelaki warga emas termasuk pengerusi sebuah persatuan telah ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes pecah amanah di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dua lelaki berusia 64 dan 73 tahun itu ditahan secara berasingan di Petaling Jaya dan Shah Alam.

"Tangkapan itu susulan laporan polis daripada wakil ahli persatuan tersebut yang mendapati baucar pembayaran persatuan yang disyaki palsu telah digunakan oleh pengerusi, setiausaha dan bendahari persatuan.

"Hasil semakan terhadap penyata bank dan baucar pembayaran mendapati terdapat wang persatuan telah dipindahkan ke akaun peribadi pengerusi persatuan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohamad Farouk berkata, baucar pembayaran telah dikeluarkan sebanyak empat kali dengan jumlah keseluruhan RM65,000.

"Terdapat empat cek bank digunakan bagi pengeluaran itu dibuat tanpa kelulusan ahli mesyuarat agung jawatankuasa persatuan," ujarnya.

Beliau berkata, reman bagi kedua-dua suspek telah ditolak di Mahkamah Ampang pada Khamis.

"Kita telah mengambil keterangan dua suspek ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan," katanya.