Pengesahan status inDrive, Maxim jelas kedudukan pemandu, bukti ketegasan Kementerian Pengangkutan: Penghantar

LocalPolitics
10 May 2025 • 12:28 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Pengesahan status dua syarikat e-hailing di negara ini, iaitu inDrive dan Maxim yang diarah menghentikan operasi oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke semalam membuktikan ketegasan kementerian dalam melindungi industri gig di Malaysia.

Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) dalam satu kenyataan berkata, pengesahan Anthony itu turut memberi kejelasan yang amat diperlukan oleh pemandu yang bernaung di bawah dua syarikat tersebut.

"Ia sekaligus memudahkan mereka merancang langkah seterusnya sekiranya ingin meneruskan perkhidmatan e-hailing mereka," kata Penghantar.

Jelas Penghantar, undang-undang yang telah dikuatkuasakan perlu dimartabatkan oleh semua pihak yang terlibat kerana ia bukan sahaja tidak adil kepada pemandu yang mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada, malah turut memberi kesan negatif kepada industri e-hailing secara keseluruhan.

Penghantar turut menerima laporan terdapat dakwaan bahawa sebahagian pemandu yang berdaftar di bawah salah satu syarikat terbabit menyerahkan perkhidmatan kepada warga asing, terutamanya di Sabah.

"Amalan ‘Ali Baba’ ini sebenarnya bukan sahaja menjejaskan pendapatan pemandu tempatan,
malahan mendedahkan penumpang kepada risiko keselamatan yang amat tinggi," jelas Penghantar.

Persatuan itu turut mendesak operasi penguatkuasaan serta tindakan segera dan tegas diambil bagi membanteras mana-mana pemilik PSV yang menyalahgunakan lesen mereka dengan menyerahkan khidmat e-hailing kepada warga asing, khususnya di Sabah.

Terkini, Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) sudah menghantar surat mengarahkan pemberhentian operasi dua aplikasi e-hailing dari Rusia yang didakwa dijalankan secara haram iaitu InDrive dan Maxim, berkuat kuasa 24 Julai ini.

Isnin lalu, Penghantar dilaporkan menggesa kerajaan melaksanakan penguatkuasaan tegas terhadap kedua-dua aplikasi e-hailing tersebut termasuk menyekat akses platform itu kerana menawarkan perkhidmatan tanpa mematuhi peraturan di bawah akta sedia ada.

Persatuan itu mendakwa antara ketidakpatuhan aplikasi berkenaan adalah tidak memastikan pemandu mereka memiliki Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah seperti yang diwajibkan oleh undang-undang Malaysia.

Selain itu, terdapat juga dalam kalangan pemandu kedua-dua aplikasi berkenaan didakwa tidak memiliki insurans e-hailing dan tidak melakukan pemeriksaan kenderaan seperti terma dan syarat ditetapkan. - 10 Mei, 2025