
Kota Kinabalu: Seorang pengetua akademi tahfiz didakwa melakukan gangguan seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki.
Lelaki berusia 29 tahun itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz, terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada Jumaat.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan meletakkan dan menggeselkan kakinya pada belakang kanak-kanak lelaki berumur 13 tahun dan 10 bulan itu pukul 3 petang, 11 Sept tahun ini di asrama tahfiz di Penampang.
Kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu berdepan satu lagi hukuman tambahan di bawah Seksyen 16 Akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, dan sekurang-kurangnya dua kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 28 Nov untuk pengurusan kes dan 12 -14 Julai 2023 untuk pendengaran.
Sementara menunggu tarikh itu, mahkamah membebaskan lelaki itu dengan ikat jamin sebanyak RM10,000 serta dua penjamin tempatan yang mempunyai alamat tetap dan pekerjaan tetap.
Mahkamah turut mengingatkan lelaki itu supaya tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta pasportnya, jika ada, disita oleh mahkamah.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Faezah Jaffry membantah ikat jamin untuk lelaki itu tetapi jika mahkamah membenarkan ikat jamin, beliau menawarkan ikat jamin sebanyak RM18,000 serta dua penjamin tempatan dengan beberapa syarat dikenakan ke atasnya.
Bagaimanapun, lelaki yang tidak diwakili itu, memohon ikat jamin dengan mengatakan dia perlu menyara isterinya yang tidak bekerja.
Dia memaklumkan mahkamah tidak akan lari dan berjanji akan menghadiri perbicaraan di mahkamah.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


