Penggawa gerak Pertubuhan Sinar Kasih Kelantan bela golongan asnaf

LocalPolitics
6 Mar 2026 • 10:26 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mustafa (tengah) bernama anak yatim, pelajar tahfiz dan orang kurang upaya pada majlis berbuka puasa yang diadakan pada 3 Mac lalu di Restoran Pusan, Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh.
image is not available
Duit raya sebanyak RM50 setiap seorang diberikan sebagai persediaan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang.
image is not available
Antara anak-anak yatim, anak tahfiz dan OKU yang diraikan dalam majlis berbuka puasa.
image is not available
Mustafa (tengah) meraikan anak-anak yatim, anak tahfiz dan OKU dalam majlis berbuka puasa.

PASIR PUTEH - Dalam masyarakat Melayu di Kelantan, jawatan penggawa merupakan lambang kepimpinan masyarakat yang dihormati kerana kebijaksanaan, keprihatinan dan kebolehan menyantuni rakyat.

Di daerah Semerak, Pasir Puteh tradisi kepimpinan ini terus hidup melalui sosok seorang tokoh yang unik iaitu Dr Mustafa Ahmad, seorang penggawa yang bukan sahaja berpengalaman dalam pentadbiran masyarakat, malah memiliki latar belakang akademik yang luar biasa.

Mustafa mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi penggawa pertama yang memiliki kelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang sejarah dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kejayaan akademik ini bukan sahaja menjadi kebanggaan masyarakat di Kampung Keting, Gunong, tempat kelahirannya tetapi juga di seluruh Kelantan, malah memperlihatkan bagaimana ilmu pengetahuan dapat berjalan seiring dengan kepimpinan masyarakat.

Beliau mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah di UKM dari tahun 2010 hingga 2013 sebelum menamatkan pengajian dan bergraduasi pada 2014.

Kajian beliau bertajuk 'Politik Kelantan Zaman Barisan Nasional (1974–1990)' merupakan satu penyelidikan penting dalam memahami perkembangan politik negeri Kelantan dalam tempoh yang sangat signifikan dalam sejarah politik Malaysia.

Tesis tersebut diselia oleh dua tokoh akademik terkemuka negara iaitu Prof Emeritus Datuk Dr Nik Anuar Nik Mahmud dan Prof Dr Mohd Zain Musa, manakala penilai yang memeriksa kajian beliau terdiri daripada sarjana besar dalam bidang sejarah tanah air iaitu Prof Emeritus Datuk Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dari UKM serta Prof Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali dari Universiti Malaya (UM).

Penilaian daripada tokoh-tokoh akademik ini membuktikan bahawa penyelidikan Mustafa mempunyai mutu ilmiah yang tinggi serta memberi sumbangan bermakna kepada kajian sejarah politik Malaysia.

Bagaimanapun, bagi masyarakat di Pasir Puteh dan kawasan sekitarnya, Mustafa bukan sekadar seorang sarjana yang berjaya menamatkan pengajian di menara gading.

**media[3454494]**

Beliau juga dikenali sebagai seorang pemimpin masyarakat yang sentiasa mendahulukan kebajikan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan bantuan.

Sebagai penggawa mukim yang sentiasa dekat dengan masyarakat, beliau sering berhadapan dengan pelbagai realiti kehidupan penduduk kampung, termasuk masalah kemiskinan, kesukaran hidup anak-anak yatim serta cabaran yang dihadapi oleh keluarga yang mempunyai ahli Orang Kurang Upaya (OKU).

Keprihatinan terhadap nasib golongan ini mendorong beliau untuk mencari pendekatan yang lebih sistematik dan tersusun dalam melaksanakan aktiviti kebajikan.

Atas kesedaran tersebut, Mustafa telah mengambil inisiatif menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan yang dikenali sebagai Pertubuhan Sinar Kasih Kelantan (PSKK).

Pertubuhan ini didaftarkan secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada 1 Disember 2024, dengan matlamat utama untuk memperkukuhkan usaha membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Penubuhan NGO ini merupakan satu langkah strategik untuk memastikan program kebajikan dapat dijalankan secara lebih terancang, telus dan berkesan.

Di bawah kepimpinan Mustafa sebagai pengerusi, pertubuhan ini turut dibantu oleh barisan kepimpinan yang terdiri daripada tokoh akademik, profesional serta individu berpengalaman dalam pelbagai bidang.

Dr Rosli Allani S Abdul Kadir berperanan sebagai Timbalan Pengerusi. Jawatan Setiausaha pula disandang oleh Dr Yusni Zaini Yusoff dari MRSM Besut manakala Nor Hazlina Mohamed memegang tanggungjawab sebagai Bendahari.

Selain itu, barisan ahli jawatankuasa pertubuhan ini turut melibatkan tokoh akademik dari pelbagai universiti termasuk Prof Madya Dr Romzi Ationg dan Prof Madya Dr Ramli Dollah dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Kamarul Zaman Yusoff serta Prof Dr Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Johari Yap Abdullah dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) serta Prof Madya Dr Nur Azuki Yusoff dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Turut membantu dalam pertubuhan ini ialah Dr Suharmili Rosle, Che Norhayati Mohamed, Norihan Mohamad Noor, Nur Syuhada binti Mat Jeli @ Mazeli serta Nasrul Amir Abdullah yang merupakan seorang akauntan.

**media[3454496]**

Walaupun berteraskan negeri Kelantan, jaringan pertubuhan ini sebenarnya melangkaui sempadan negeri.

Kehadiran ahli jawatankuasa dari Sabah, Kedah dan negeri-negeri lain membuktikan bahawa usaha kebajikan yang digerakkan oleh Mustafa mempunyai rangkaian nasional yang luas.**media[3454497]**

Menariknya, sebahagian besar aktiviti kebajikan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Sinar Kasih Kelantan tidak dilakukan dengan tujuan mencari publisiti.

Banyak program dijalankan secara sederhana tanpa hebahan besar dalam media massa.

Namun begitu, keberkesanan usaha tersebut banyak dipengaruhi oleh hubungan baik Mustafa dengan pemimpin negara, tokoh politik, ahli akademik serta pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di peringkat pusat dan negeri.

Melalui jaringan hubungan ini, beliau berjaya menggerakkan pelbagai sumber bantuan untuk membantu golongan memerlukan.

Antara program kebajikan yang paling mutakhir dianjurkan oleh Pertubuhan Sinar Kasih Kelantan ialah Majlis Berbuka Puasa bersama Anak Yatim, Pelajar Tahfiz dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang diadakan pada 3 Mac lalu di Restoran Pusan, Pantai Bisikan Bayu, Semerak, Pasir Puteh.

Majlis tersebut meraikan kira-kira 160 penerima yang terdiri daripada anak yatim, pelajar tahfiz, huffaz serta golongan OKU dari pelbagai daerah di negeri Kelantan.

Program ini memberikan peluang kepada mereka menikmati hidangan berbuka puasa istimewa di restoran terkenal yang menyediakan menu masakan Thai.

Selain menikmati hidangan berbuka puasa, setiap penerima turut menerima sumbangan duit raya sebanyak RM50 seorang sebagai persediaan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang.

Sumbangan tersebut disampaikan sendiri oleh Dr Mustafa Ahmad bersama beberapa ahli jawatankuasa NGO.

Antara penerima sumbangan ialah anak-anak yatim dari Sekolah Kebangsaan Sungai Petai, Sekolah Kebangsaan Kampung Berangan serta Sekolah Kebangsaan Kulim di Pasir Puteh.

Program ini turut melibatkan pelajar tahfiz dari Madrasah Darul Ulum di Kampung Belida, Bukit Gedombak, Pasir Puteh, pelajar dari Mahaad Tahfiz Al-Quran Nur Al Majid dari Machang serta anak-anak yatim dan golongan OKU dari daerah Kuala Krai.

**media[3454497]**

Antara kisah yang paling menyentuh hati ialah pengalaman lima beradik yatim dari Kuala Krai yang juga tergolong dalam kategori OKU.

Bagi mereka, peluang berbuka puasa secara bufet di restoran merupakan pengalaman pertama dalam hidup.

Menurut kakak sulung keluarga tersebut, Nur Hidayah Kamaruzzaman, mereka tinggal bersama ibu yang menghadapi masalah kesihatan dan kesukaran hidup selepas kematian bapa.

Oleh itu, peluang menghadiri majlis berbuka puasa tersebut membawa kegembiraan yang sukar digambarkan.

Mustafa dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli kumpulan WhatsApp Bicara Minda Nusantara yang telah memberikan sokongan besar kepada program kebajikan tersebut.

Katanya, kumpulan WhatsApp ini mempunyai kira-kira 1,020 ahli yang terdiri daripada ahli akademik, tokoh politik, pegawai tadbir kerajaan, pesara serta tokoh masyarakat dari pelbagai latar belakang.

"Dalam tempoh hanya satu minggu, ahli-ahli kumpulan tersebut berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak kira-kira RM13,000 bagi menjayakan program berbuka puasa," katanya.

Menurut Mustafa, kumpulan Bicara Minda Nusantara (BMN) yang dikelolakan beliau bukan sekadar ruang perbincangan isu semasa, tetapi juga menjadi platform jaringan intelektual yang menghubungkan tokoh-tokoh dari pelbagai negara.

"Selain tokoh dari Malaysia, BMN turut melibatkan ahli dari Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina, Brunei, Kemboja, Vietnam, China, Korea Selatan dan negara lain.

"Ia juga disertai oleh tokoh politik dari pelbagai parti di Malaysia termasuk menteri dan Perdana Menteri, menjadikannya satu komuniti perbincangan yang unik dan berpengaruh," katanya.

Kejayaan penganjuran majlis ini membuktikan bahawa apabila masyarakat berganding bahu, banyak perkara dapat dilakukan untuk membantu mereka yang memerlukan.

Bagi memastikan lebih banyak program kebajikan dapat dilaksanakan pada masa hadapan, NGO ini turut membuka ruang kepada orang ramai yang ingin menyumbang.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam bernombor 03090010078795.

Dengan sokongan masyarakat, pertubuhan ini berharap dapat memperluaskan lagi program bantuan kepada golongan asnaf termasuk bantuan pendidikan, bantuan makanan, bantuan pakaian raya serta pelbagai program pembangunan sosial untuk masyarakat luar bandar.

Kisah PSKK menunjukkan bahawa kepimpinan yang berteraskan ilmu, keikhlasan dan tanggungjawab sosial mampu memberi kesan besar kepada masyarakat.

Di sebalik gelaran akademik dan kedudukan pentadbiran yang disandang, Mustafa terus membuktikan bahawa kasih sayang terhadap masyarakat merupakan asas sebenar sebuah kepimpinan.