Seorang penggemar paranormal, Muhamad Zainudin Asaron, 20, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Yong Peng hari ini atas pertuduhan menceroboh sebuah bangunan terbiar di Bukit Pasir pada Sabtu lalu.
Pengakuan tersebut dibuat di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Muhamad Zainudin didakwa memasuki bangunan milik seorang lelaki berusia 47 tahun pada jam 1.36 tengah hari tanpa kebenaran, melanggar Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda maksimum RM3,000, atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, pengadu membuat laporan kepada pihak polis pada jam 3.20 petang hari kejadian, memaklumkan bangunan yang pernah dijadikan pusat beli-belah itu telah diceroboh.
Siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 1.36 tengah hari, dan maklumat yang diperoleh membawa kepada penahanan tertuduh.
Ketika disoal siasat, tertuduh mengakui ke bangunan tersebut untuk menjalankan aktiviti paranormal bersama beberapa rakannya, namun mereka tidak hadir seperti dirancang.
Muhamad Zainudin kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat untuk siasatan lanjut.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, sementara tertuduh diwakili oleh peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah menetapkan 23 Disember depan untuk mendapatkan laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, yang dikategorikan sebagai pesalah muda.
Tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.
Sumber: Harian Metro
The post Penggemar paranormal mengaku bersalah ceroboh bangunan terbiar di Bukit Pasir appeared first on The Reporter.




![“Saya dari PERKESO” – Lawak Shuib Dalam Muzikal Lawak Superstar Undang Kritikan Netizen [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/entertainment.jpeg)