Penggerak Buku Alternatif Kental Harungi Cabaran, Tabah Bersaing Di Pasaran Arus Perdana

4 Jun 2024 • 9:30 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Antara buku terbitan penerbit ‘indie’ yang dilancarkan di PBAKL, Sabtu lalu - Gambar Najjua Zulkefli

KUALA LUMPUR – Dalam industri perbukuan yang didominasi oleh penerbit arus perdana, penerbit buku alternatif atau indie terus berjuang untuk bertahan. 

Meskipun berdepan pelbagai cabaran, golongan itu tetap berdedikasi untuk menghasilkan produk yang terbaik, berkat sokongan kelompok peminat setia.

Perlu diketahui, penerbit buku indie sering beroperasi dengan bajet terhad, memandangkan kos penerbitan, pencetakan, dan pemasaran memerlukan dana yang besar. 

Tanpa sokongan kewangan yang kukuh, kumpulan ini terpaksa mencari jalan kreatif untuk mengembangkan operasi mereka.

image is not available
Buku Fixi antara penerbit ‘indie’ yang menjadi kegemaran - Gambar X

Hal itu diakui penggerak buku alternatif Kawah Buku, Azan Safar yang berkata, masalah modal merupakan cabaran terbesar kerana buku yang diketengahkan mereka bukanlah daripada pasaran arus perdana.

“Kerana kita adalah penerbit buku alternatif kita tak terbit buku keramaian yang biasa dibaca seperti contoh buku panduan solat, buku (berkisar) syurga neraka.

“Buku terbitan kita khusus segmen tertentu, kita ada ‘niche’ sendiri. Dan bila kita sebut penerbit bebas ini, sudah tentu kita juga ada wacana tertentu yang kita nak ketengahkan. Tapi ia belum tentu mendapat tempat dalam masyarakat,” katanya kepada Getaran ketika ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) baru-baru ini.

image is not available
Azan Safar - Gambar Najjua Zulkefli

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan dan cabaran yang dihadapi penggerak buku alternatif.

Pengarah Urusan Toko Sue, Sue Emoqwin pula berkata, senario dihadapi menjadi dilema kepada penggerak buku alternatif memandangkan pasarannya tidak sebesar arus perdana.

Selain kekangan kewangan katanya, penerbit indie juga berdepan persaingan sengit dengan penerbit arus perdana yang mempunyai akses lebih luas kepada pasaran dan distribusi. 

“Untuk mendapatkan ruang di kedai buku besar dan platform e-dagang utama adalah satu lagi cabaran besar.

“Kekuatan untuk bertahan dalam menerbitkan buku dalam industri ini sangat kritikal sebab kita tak boleh ikut kaedah lama, jika tidak risikonya tutup kedai.

“Maksudnya bila kita melakukan apa yang kita minat tapi adakah kita boleh bertahan. Kita nak beri impak kepada masyarakat tapi adakah masyarakat akan sokong kita,” katanya.

image is not available
Sue Emoqwin - Gambar Najjua Zulkefli

Sue yang terkenal dengan karya zine memberitahu, penggerak buku alternatif terpaksa beroperasi dengan lebih kreatif termasuk menggunakan semua platform khususnya di media sosial.

“Media sosial, blog, dan laman web e-dagang menjadi alat penting bagi penerbit indie untuk mencapai audiens yang lebih luas.

“Penerbit dan penulis indie juga sering bekerjasama demi membentuk jaringan sokongan yang kuat,” katanya. - Getaran, 4 Jun 2024