
LABUAN: Pengguna jalan raya yang berulang-alik antara persimpangan Kuala Penyu dan Bongawan ke Benoni, Sabah menggesa pihak berkuasa agar membaiki segera jalan itu yang rosak kerana boleh mengancam keselamatan pengguna.
Perjalanan yang memakan masa amat mengecewakan pemandu apabila terpaksa berdepan lalu lintas yang perlahan antara Kota Kinabalu dan Menumbok atau Beaufort dan Brunei kerana keadaan jalan berlubang dan tidak rata.
Orang ramai menggesa tindakan pantas agar membaiki jalan itu dan tidak seharusnya menunggu sehingga projek Lebuhraya Pan Borneo siap.
Chong Wei Lee, 45, berkata keadaan jalan raya yang rosak bukan sahaja menyusahkan pengguna kerana menyebabkan kelewatan dalam perjalanan malah menimbulkan kebimbangan kemungkinan berlakunya kemalangan.
Beliau berkata sekiranya jalan dari persimpangan Kuala Penyu ke Benoni dibiarkan tidak dibaiki, ia tidak lama lagi boleh mendapat reputasi sama seperti jalan Telupid yang sering disamakan dengan "permukaan bulan" akibat jalan berlubang yang boleh menyebabkan kenderaan rosak.
“Kita tidak boleh menunggu hingga projek Lebuhraya Pan Borneo siap. Pihak berkuasa digesa agar segera menjalankan kerja-kerja pembaikan dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya kepada Bernama hari ini.
Jeffrey Nina, 52, yang sering menggunakan laluan dari Labuan ke Kota Kinabalu berkata memandangkan aduan telah banyak dibangkitkan, kerajaan perlu mengutamakan penyelenggaraan dan pembaikan laluan penting itu.
"Gesaan untuk tindakan segera pembaikan di jalan Kuala Penyu-Bongawan-Benoni mencerminkan keprihatinan orang ramai terhadap penyelenggaraan infrastruktur di kawasan ini bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pengguna jalan raya,” katanya.
