Google Drive adalah antara perkhidmatan storan awan yang terbaik di pasaran. Dalam banyak-banyak perkhidmatan awanan yang terdapat di pasaran, Google Drive menjadi pilihan saya kerana ia mesra dengan semua peranti pada pelbagai platform. Terbaru, ramai pengguna melaporkan isu serius di mana kebanyakan fail-fail kerja yang telah dimuat naik hilang secara tiba-tiba.
Isu ini dilihat telah membawa pengguna merentas ke masa silam kerana fail-fail yang hilang adalah fail yang dimuat naik selepas bulan Mei 2023. Malah sejarah aktiviti pengguna selepas bulan Mei turut tidak mempunyai sebarang rekod walaupun telah mengesahkan bersama wakil Google yang semua fail telah berjaya disandarkan dan diselarikan kepada semua peranti.

Berdasarkan laporan yang diusulkan oleh pengguna melalui forum rasmi Google, isu ini hanya berlaku kepada mereka yang menggunakan Google Drive for Desktop pada peranti Windows. Mereka yang menggunakan aplikasi pada telefon pintar dan web tidak terkesan.
Buat masa ini, Google masih menyiasat isu yang sedang berlaku dan fail masing-masing masih tidak berjaya diselamatkan. Jalan penyelesaian sementara bagi pengguna Google Drive for Desktop adalah untuk tidak melakukan sebarang perubahan pada ruang utama (root) Google Drive.
- Sumber
- Android Authority
