Pengguna rayu siasatan lonjakan bil elektrik

LocalBusiness & Finance
12 May 2026 • 5:06 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Pengguna rayu siasatan lonjakan bil elektrik

KENINGAU: Pengguna di beberapa daerah di Sabah merayu kerajaan negeri dan Sabah Electricity (SE) menjalankan siasatan serta penelitian menyeluruh susulan dakwaan peningkatan mendadak bil elektrik sejak April lalu.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik berkata beliau menerima banyak aduan daripada pengguna yang terkejut dengan jumlah bil diterima walaupun penggunaan harian didakwa tidak banyak berubah.

Menurutnya, ada pengguna mendakwa bil elektrik meningkat sehingga sekali ganda berbanding kebiasaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terutama ketika rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup.

“Ramai pengguna mendakwa penggunaan tenaga elektrik mereka masih seperti biasa, namun apabila menerima bil April, jumlahnya meningkat dengan ketara.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan dan kebimbangan rakyat terutama ketika kos sara hidup semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata terdapat juga pengguna diarahkan menambah bayaran cagaran dalam jumlah tinggi susulan peningkatan bil berkenaan.

“Sebagai contoh, ada pengguna menerima bil sekitar RM493 tetapi pada masa sama diminta menambah cagaran sehingga RM560.

“Situasi ini amat membebankan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang sedang berdepan tekanan ekonomi,” katanya.

Yazid berkata rakyat tidak menolak untuk membayar bil utiliti, namun berharap kadar dikenakan adalah munasabah dan selaras dengan penggunaan sebenar.

Katanya, sekiranya terdapat perubahan sistem, pelarasan tarif atau isu bacaan meter, penjelasan jelas perlu diberikan supaya pengguna memahami keadaan sebenar dan tidak terus dibelenggu persoalan.

Beliau juga berharap SE mengambil pendekatan lebih mesra rakyat dengan meneliti setiap aduan pengguna serta mempertimbangkan langkah bersesuaian bagi meringankan beban rakyat.

Di KOTA KINABALU, seorang pengguna yang dikenali sebagai Ridwan Adri menerusi media sosial mendakwa bil elektrik rumahnya meningkat mendadak sehingga mencecah antara RM650 hingga RM850 sebulan walaupun penggunaan elektrik dikatakan tidak banyak berubah.

Menurutnya, sebelum ini bil bulanan rumahnya hanya sekitar RM90 hingga RM150 dengan penggunaan biasa melibatkan kipas, lampu, peti sejuk, mesin basuh dan penghawa dingin pada waktu malam sahaja. Namun, katanya, bil baharu menunjukkan peningkatan penggunaan yang dianggap tidak munasabah.

“Pada Februari 2026, penggunaan hanya sekitar 378 kilowatt-jam (kWh), tetapi pada Mac meningkat kepada 1,251 kWh dan kini mencecah 1,656 kWh.

“Itu bukan naik sedikit, tetapi lebih tiga kali ganda sedangkan tiada penambahan peralatan elektrik di rumah,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau turut mempersoalkan peningkatan itu memandangkan rumahnya dikatakan kosong lebih seminggu pada Mac lalu kerana pulang berhari raya.

Menurutnya, apabila perkara itu dirujuk kepada Sabah Electricity, beliau dimaklumkan peningkatan bil berpunca daripada pertambahan penggunaan elektrik dan bacaan meter didapati tepat.

Bagaimanapun, beliau berharap penjelasan lebih terperinci dapat diberikan mengenai faktor sebenar lonjakan penggunaan berkenaan kerana mendakwa ia tidak selari dengan corak penggunaan harian keluarganya. Luahan itu turut mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang mendakwa mengalami situasi hampir sama membabitkan peningkatan mendadak bil elektrik sejak kebelakangan ini.

Pada masa sama, Ridwan berharap pihak berkaitan termasuk pemimpin dan wakil rakyat memberi perhatian serius terhadap isu tersebut demi memastikan ketelusan dan keadilan kepada pengguna.

View Original Article