
Kuala Lumpur: Tahap pendayaupayaan pengguna Malaysia menunjukkan peningkatan ketara apabila Indeks Pendayaupayaan Pengguna (CEI) 2025 mencatatkan skor 70.36 peratus berbanding 63.1 peratus pada 2020.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 7.26 mata peratusan sekaligus meletakkan tahap pendayaupayaan pengguna negara pada kategori tinggi berbanding sederhana sebelum ini.
Beliau menyatakan kajian CEI yang dilaksanakan KPDN itu bertujuan menilai tahap literasi kewangan, kebolehan membuat keputusan pembelian serta kefahaman pengguna terhadap hak mereka untuk mendapatkan penyelesaian dan ganti rugi.
“Peningkatan turut direkodkan dalam ketiga-tiga domain utama kajian iaitu Keputusan Pembelian yang meningkat 7.11 mata peratusan kepada 75.91 peratus, Literasi Kewangan (3.97 mata peratusan kepada 66.47 peratus) dan Tindakan Penyelesaian (10.74 mata peratusan kepada 66.84 peratus).
“Pencapaian ini bukan sekadar angka statistik, sebaliknya mencerminkan perubahan sikap dan tindakan rakyat Malaysia yang semakin berpengetahuan, yakin serta berupaya membuat keputusan dan melindungi hak mereka sebagai pengguna,” katanya dalam satu kenyataan sempena Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa (MPGPS) Peringkat Kebangsaan2026 baru-baru ini.
Mengulas lanjut Armizan berkata peningkatan dalam domain Tindakan Penyelesaian khususnya menunjukkan perkembangan positif dari segi keberanian pengguna menyuarakan aduan serta menuntut hak apabila berdepan masalah berkaitan barangan atau perkhidmatan.
Katanya bagi memastikan kajian CEI 2025 memenuhi piawaian dan kualiti sewajarnya, KPDN turut melaksanakan penandaarasan dengan negara terpilih, termasuk Kesatuan Eropah (EU) dan Korea Selatan, bagi menilai metodologi, instrumen, pengukuran indeks serta program pemerkasaan pengguna.
“Dalam usaha memperkukuh pencapaian itu, KPDN akan terus memperkasa Gerakan Pengguna Siswa (GPS), yang dianggotai mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai wadah meningkatkan pendidikan dan advokasi kepenggunaan dalam masyarakat.
“Usaha ini selaras dengan tema Hari Pengguna Kebangsaan 2026, ‘Kita Pengguna: Suara Kita, Kuasa Kita’, GPS berperanan meningkatkan kesedaran mengenai hak dan tanggungjawab pengguna serta membudayakan amalan kepenggunaan yang bijak, beretika dan bertanggungjawab,” katanya.
Bercakap mengenai MGPS Peringkat Kebangsaan 2026 yang di berlangsung di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dari 19 hingga 21 Oktober ini, beliau berkata program berkenaan mendapat penyertaan kelab GPS dari IPT seluruh negara.
Menurutnya setakat ini sebanyak 196 kelab GPS berdaftar di seluruh negara, manakala penganjuran MPGPS tahun ini menghimpunkan 200 peserta daripada 100 IPT bagi menjayakan pelbagai aktiviti berkaitan kepenggunaan.
“Antara pengisian program termasuklah Pertandingan Cabaran Eksplorasi GPS 2026, lawatan lapangan bersama penguat kuasa KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sesi perkongsian ilmu, pembentangan GPS Idea Lab serta penyerahan Geran Ihsan Food Bank (i-FB),” katanya.

