
SHAH ALAM - Seorang pengguna Twitter mendakwa menjumpai personaliti TV3, Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu.
Pengguna tersebut yang menggunakan nama @mosyukiborhan berkata, dia bertemu wanita yang mirip Zalina kira-kira jam 1 tengah hari pada Ahad lalu di sebuah kedai makan miliknya.
Katanya, keadaan wanita berkenaan ketika itu seperti tidak sihat, tidak boleh bercakap normal dan menggigil atau terketar ketakutan.
"Masa di kaunter nak pesan makanan tu, dia toleh belakang kanan kiri. Agak mencurigakan. Aku tanya okay ke tak, dia diam je.
"Rakan aku pun cakap la boleh duduk dulu bagi tenang baru pesan. Dia tak banyak cakap tapi apa yang keluar dari mulut dia adalah 'saya takut besi'. Bercakap dalam keadaan yang takut, macam ada benda berlaku," ciapnya pada Selasa sambil menambah bahawa kedainya mempunyai banyak besi.
Media pada Isnin melaporkan polis giat mencari Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak lapan bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pihaknya menerima laporan daripada anak lelaki Zalina, Mikhael Norman, 33 berhubung kehilangannya pada 29 November tahun lalu.
Bagaimanapun, menurutnya, disebabkan takutkan besi, wanita itu tidak memesan makanan sebaliknya mengubah fikiran dengan keluar dari kedai wanita itu dan melanggar pintu kerana tidak mahu memegang tombol pintu.
"Nampak macam kelaparan tapi dia terus gerak je sebab dia macam rasa tak selamat, takut, rasa terancam.
"Kami pun ikut keluar kedai dan tengok mana arah dia pergi. Dia berjalan tanpa arah macam mencari sesuatu. Laju," tulisnya sambil mengakui mengakui baru mengetahui kes kehilangan bekas pengacara tersebut pada malam Isnin selepas membaca berita mengenainya.
Katanya, dia kemudiannya menghubungi Ibu Pejabat Polis Shah Alam dan memaklumkan tentang perkara itu.

