Pengguna utamakan produk tempatan, murah

29 Nov 2023 • 9:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Masyarakat Melayu mengutamakan pembelian produk tempatan kerana lebih murah dengan kualiti memuaskan selain mahu membantu peniaga usahawan PMKS. - Gambar Bernama

SHAH ALAM - Masyarakat Melayu mengutamakan pembelian produk tempatan kerana lebih murah dengan kualiti memuaskan selain mahu membantu peniaga usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan pengguna Melayu beralih memilih barangan buatan Malaysia disebabkan sentimen isu semasa bagi meningkatkan aliran ekonomi dalam negara.

Seorang pekerja jualan langsung di aplikasi TikTok, Anis Arina Aqilah Roslee, 24, berkata, pengguna dapat mengurangkan perbelanjaan dengan membeli produk tempatan.

“Saya ubah set penjagaan kulit produk import kepada tempatan kerana lebih sesuai dengan kulit dan cuaca di Malaysia. Malah bahan kandungan produk luar juga diragui sumber halal serta suci.

“Lagipun, jika membeli produk antarabangsa, saya perlu mengeluarkan sejumlah wang ringgit yang lebih besar untuk kos penghantaran,” katanya.

Ujar seorang lagi pekerja swasta, Muhammad Amirul Naim Mazian, 24, isu semasa berkaitan konflik Palestin-Israel menyebabkan dia tidak lagi membeli produk keluaran syarikat yang menyokong rejim Zionis.

Tambahnya, bagi makanan dan minuman, dia memilih restoran diusahakan orang Melayu yang dijamin halal serta bersih.

“Tetapi dalam masa sama, saya tidak kisah jika makan makanan yang dijual di kedai kaum lain seperti tosai atau apom.

“Saya akan pastikan makanan tersebut bersih dan bahan-bahan yang digunakan boleh dimakan,” ulasnya.

Sementara itu, pekerja sumber manusia di syarikat swasta, Nur Ainna Mahmood, 23, berkata, dia memilih untuk membeli barang jenama Malaysia selain menyokong makanan hasil tangan orang Melayu yang tular di media sosial.

“Kita dapat membantu PMKS untuk menghasilkan lagi produk yang lebih bagus dan mereka boleh bersaing secara sihat tanpa ada perasaan dengki antara satu sama lain,” ujarnya.

Selain itu, menurut seorang usahawan, Muhammad Amar Firdaus Mohd Salim, 26, pembelian jenama Malaysia dengan harga mampu milik menjadi pilihan utama dan membeli mengikut keperluan.

“Namun terdapat segelintir peniaga yang suka mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang.

“Pihak berkuasa perlu pantau supaya rakyat tidak rasa terbeban,” tambahnya.

Seorang pesara, Jamaludin Ishak, 61, pula mengakui dia sekeluarga sering membeli makanan yang dijual di gerai bahu jalan berbanding di restoran makanan segera jenama antarabangsa.

“Proses penyediaan makanan oleh peniaga Melayu diyakini dan makanan dijual juga bebas daripada bahan terlarang.

“Pada masa sama, hasil keuntungan perniagaan dapat membantu orang ramai yang lebih memerlukan dengan pembayaran zakat perniagaan,” jelasnya.