Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, tular di media sosial video seekor gajah digunakan dalam satu majlis yang tidak dinyatakan lokasinya.
Video tersebut nyata menarik perhatian hingga ramai yang mempersoal penggunaan gajah terbabit serta mahu penjelasan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
PERHILITAN Terima Permohonan Penggunaan Gajah Sempena Program Komuniti MADANI
Semalam (30 Jun), PERHILITAN dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan pihaknya mengambil maklum video tular yang memaparkan penggunaan gajah dalam satu majlis di Pasir Tumboh, Kelantan.
Jelas Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, pihaknya ada menerima permohonan pameran gajah dan hidupan liar sempena Program Komuniti Madani pada 25 Mei lalu daripada Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan.
“Sehubungan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Permohonan Permit Khas yang bersidang pada 16 Jun lalu telah meneliti dan meluluskan permohonan terbabit berdasarkan SOP yang telah ditetapkan.
“Pemeriksaan kesihatan gajah dan penentuan gajah yang dibawa telah dilaksanakan oleh Jabatan PERHILITAN mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Penilaian kebajikan gajah telah dijalankan sebelum, semasa dan selepas program tersebut sepanjang pengangkutan, penyediaan dan penggunaan gajah dalam majlis tersebut telah dilaksanakan,” jelas mereka.
Tubuh Pasukan Petugas Khas, Kaji & Tambah Baik SOP Sedia Ada
Namun, prihatin dengan respon yang diberikan oleh rakyat Malaysia, Abdul Kadir menjelaskan satu Pasukan Petugas Khas akan ditubuhkan bagi mengkaji serta menambah baik undang-undang atau prosedur berkaitan.
Malah, PERHILITAN juga akan merujuk kepada Unit Integriti Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Bahagian Penyiasatan Tatakelola, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu memperkemaskan SOP tersebut.
“Jabatan PERHILITAN kekal komited dalam memelihara khazanah hidupan liar negara dan melaksanakan penambahbaikan secara berterusan berdasarkan maklum balas yang diterima daripada masyarakat umum.
“Orang awam juga digesa untuk bersama-sama memainkan peranan menyebarkan maklumat sahih bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Pun begitu, kenyataan tersebut masih mengundang persoalan warganet hingga ada yang tertanya-tanya adakah majlis yang dimaksudkan oleh PERHILITAN itu sama dengan majlis perkahwinan tular baru-baru ini yang menggunakan gajah.
View on Threads
Sebelum ini, pengguna media sosial termasuk Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) dan Hak Asasi Hidupan Liar (HIDUP) menuntut penjelasan dari PERHILITAN mengenai penggunaan gajah dalam sebuah majlis.
Peka dan HIDUP dalam satu kenyataan menjelaskan gajah merupakan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
“Gajah merupakan khazanah negara, bukan komoditi untuk majlis persendirian, perkahwinan mahupun eksploitasi komersial,” kata mereka.
View on Threads
Baca Artikel Berkaitan: Gajah Di Thailand Disahkan Cacat Kekal Selepas 25 Tahun Bawa Pelancong
Baca Artikel Berkaitan: Kenapa Ada Gajah Naik Lori Pandang Ke Belakang? Ini Sebabnya [Video]



