Penggunaan hidrogen dijangka beri cabaran daya maju teknikal, serta komersial kepada Malaysia - MIDF Research
azan
01/09/2023 - 11:33
KUALA LUMPUR 1 Sept - Pelan Hala Tuju Peralihan Ekonomi Hidrogen (HETR) dilihat bakal memperkasakan lagi aspirasi Malaysia dalam bidang sektor minyak dan gas namun penggunaan hidrogen dijangka memberikan cabaran terhadap daya maju teknikal serta komersial.
MIDF Research berkata, penyimpanan hidrogen merupakan antara isu teknikal yang akan memberi cabaran bukan sahaja kepada sektor minyak dan gas tetapi juga dalam sektor pembinaan dan logistik.
Dari segi pengeluaran katanya, beberapa cabaran sudah dikenalpasti termasuk ketersediaan elektroliser yang terhad di seluruh dunia selain kekurangan pakar teknikal dalam pengeluaran hidrogen dan perbelanjaan modal yang besar yang diperlukan untuk menjana hidrogen hijau.
"Elektroliser sahaja menyumbang kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan kos pengeluaran hidrogen.
"Namun begitu, kami percaya tumpuan yang sewajarnya terhadap kemajuan teknologi boleh meningkatkan kecekapan elektrolisis, seterusnya memberikan kelebihan daya saing kepada Malaysia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, penggunaan teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) adalah penting untuk mencapai matlamat negara iaitu pelepasan sifar bersih, terutamanya dalam industri yang sukar dinyahkarbon.
Katanya, CCUS dijangka meliputi pelbagai sektor, seiring dengan pertumbuhan kemajuan teknologi dan peningkatan dalam kecekapan kos namun penggunaanya merentas industri yang berbeza sangat bergantung pada rangka kerja kawal selia yang mantap.
"Bagi memulakan integrasi CCUS yang betul ke dalam rangkaian ekonomi tempatan, penyesuaian undang-undang serupa seperti The London Protocol dan EU CCS Directive adalah penting sebagai langkah pertama untuk menyediakan CCUS melangkaui sektor minyak dan gas sahaja.
"Dari segi kecekapan kos, CCUS boleh dilaksanakan melalui penggunaan karbon dioksida dalam produk petrokimia dan penyimpanan hidrogen, memandangkan pembangunan teknologi yang betul," katanya.
MIDF Research berkata, walaupun menghadapi cabaran infrastruktur dan kawal selia, pihaknya percaya aset sedia ada yang dimiliki negara dalam merintis hidrogen sebagai bahan api alternatif.
Katanya, Malaysia mempunyai keupayaan untuk melaksanakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) melalui sektor minyak dan gas.
"Petronas Gas berpotensi untuk melabur dan membangunkan penyelesaian yang lebih baik untuk mengatasi isu penyimpanan hidrogen, serta memberikan rangka kerja kawal selia yang betul dalam aspek penapisan pengurusan hidrogen untuk pengeluaran dan pembangunan hidrogen pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com




