Tahun lepas, Google TV Streamer dilancarkan sebagai kotak TV lebih berkuasa berbanding Chromecast with Google TV. Bukan itu sahaja, dengan kotak TV baharu ini penggunaan nama Chromecast turut tidak lagi digunakan dan Google juga mula menghentikan pengeluaran produk-produk Chromecast.

Beberapa hari lepas, Google Store dilihat mula berhenti menjual produk terakhir Chromecast iaitu Chromecast with Google TV. Google sudah mengesahkan jualan hanya akan diteruskan selagi stok masih ada dan pengeluaran telah pun dihentikan. Kini hanya beberapa kedai sahaja yang menjualnya, termasuk juga di Malaysia. Walaupun begitu, sokongan kemas kini akan masih dijaga dan diberikan kepada pengguna.

Tidak lupa juga yang sejak Mei 2024, Google turut tidak lagi menggunakan nama Chromecast untuk ciri perkongsian kandungan skrin telefon/tablet ke skrin televisyen atau paparan luaran lain. Mereka kini menggunakan nama Google Cast. Untuk peranti Android ada yang menggunakan nama Cast sahaja dan ada juga yang menggunakan nama Screencast. Cuma saya tidak pasti jika pengguna boleh membiasakan diri dengan Google Cast kerana sudah terbiasa dengan Chromecast untuk lebih sedekad.
