Penghantaran pertama sayuran tanaman ladang tertutup pintar ke Singapura sasar nilai tahunan RM5 juta - MOSTI
zulfadli
02/11/2023 - 09:42
KUALA LUMPUR 2 Nov - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengumumkan penghantaran pertama sayur-sayuran yang dihasilkan melalui ladang tertutup di bawah program Bio-Pintar ke Singapura, dengan sasaran sebanyak 60 tan yang bernilai RM5 juta setahun.
Menteri MOSTI, Chang Lih Kang berkata, eksport pertama sayur-sayuran premium di bawah Bio-Pintar untuk pasaran Singapura merupakan hasil daripada pemadanan strategik antara MSD Innovation Sdn Bhd (MSDi) dengan Sustenir Agriculture (Malaysia) Sdn Bhd yang dijalinkan Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation).
Beliau berkata, MSDi dan Sustenir adalah antara 115 buah syarikat di bawah program Bio-Based Accelerator (BBA).
Katanya, Bioeconomy Corporation membimbing dan menyokong kedua-dua syarikat BBA dalam menggunakan model SIF Bio-Pintar untuk menghasilkan dan mempromosikan sayur-sayuran segar, berkualiti tinggi, dan bebas racun perosak yang tinggi dan diperkaya dengan nutrien seperti Romaine, butterhead lettuce, kale, dan makanan berkhasiat atau superfood lain.
"Pembekalan produk sayuran itu bermula dengan penghantaran 4,000 pokok sayuran dan jumlahnya akan dipertingkatkan selaras dengan persefahaman perniagaan di antara pihak MSD Innovation dan rakan kerjasama pemasaran di Singapura, yang mana sasaran kedua-dua belah pihak adalah untuk memenuhi permintaan sebanyak 60 tan yang bernilai RM5 juta setahun.
"Kejayaan ini dicapai melalui model SIF Bio-Pintar yang inovatif, dengan menyepadukan bioteknologi, internet kebendaan dan teknologi awan dalam persekitaran terkawal.
"SIF menangani cabaran-cabaran utama dalam pertanian seperti ketidakpastian cuaca, tanah dan sumber biodiversiti yang terhad, serta penggunaan racun perosak," katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurutnya, pencapaian itu adalah bukti keupayaan Malaysia yang dapat merevolusikan pengeluaran pertanian dan komitmen tegas kami untuk memastikan keterjaminan makanan dalam peringkat tempatan dan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata, Bio-Pintar menekankan kepentingan bekerjasama dengan pemain bioteknologi dalam sektor swasta untuk meningkatkan pengeluaran makanan, menggalakkan amalan pertanian mampan, serta melahirkan usahawan tani atau agropreneur yang lebih aktif di Malaysia.
"Bioeconomy Corporation yakin bahawa Bio-Pintar memberikan peluang terbaik untuk para agropreneur Malaysia menembusi pasaran global pertanian ladang tertutup yang bernilai AS$38 bilion pada 2022 dan dijangka meningkat kepada lebih daripada AS$55 bilion menjelang 2032," katanya. - DagangNews.com
