
Penghantaran SMS Bersama URL Disekat Bermula 2 Julai
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa penghantaran SMS yang mengandungi URL akan disekat mulai 2 Julai.
Beliau memaklumkan berita tersebut menerusi sebuah hantaran di Facebook rasminya pada pagi Sabtu, hari ini.
Difahamkan, tindakan itu diambil bagi mengelak pengguna daripada menerima dan menekan pautan meragukan yang dihantar menerusi SMS.
Perkara ini sekali gus dapat mematahkan modus operandi yang menggunakan platform SMS sebagai wadah untuk menipu mangsanya.
Kata Fahmi, beliau bersama KKD kekal komited dalam mengutamakan keselamatan siber di Malaysia.
“Saya dan KKD menjadikan keselamatan siber sebagai teras utama. Salah satu caranya adalah dengan mencegah penipuan atas talian berlaku.”
Banyak pengguna diperdayakan menerusi URL dari SMS yang dikirim penipu atas talian
Terdahulu, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan arahan kepada semua syarikat telekomunikasi (telco) untuk melarang sebarang kandungan pautan pelokasi sumber seragam (URL) dalam khidmat pesanan ringkas (SMS).
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Chin, terdapat banyak penipuan dalam talian berlaku menerusi penghantaran URL dalam SMS.
“MCMC telah mengeluarkan satu arahan kepada syarikat telco untuk pastikan tiada seorang pun yang akan tersalah tekan URL itu dan berkemungkinan menjadi mangsa (penipuan dalam talian).
Pengguna atau mangsa penipuan biasanya akan tersilap dengan menekan pautan tersebut dan memberikan maklumat peribadi tanpa sengaja.
“Banyak penipuan dalam talian berlaku apabila pengguna tersalah tekan pautan tersebut, kemudian memberi maklumat peribadi dan akhirnya menjadi mangsa,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata arahan tersebut akan berkuat kuasa secara berperingkat dan berharap syarikat yang terlibat dapat melaksanakan arahan tersebut dalam masa yang terdekat.
Setakat ini, Maxis memaklumkan bahawa pihaknya bakal menyekat sebarang penghantaran dan penerimaan kandungan pautan pelokasi sumber seragam (URL) menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) bermula 2 Mei.
Syarikat telekomunikasi tersebut menjelaskan bahawa tindakan itu adalah susulan dengan arahan yang dikeluarkan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) pada 1 April lalu.
Sumber: Fahmi Fadzil via Facebook
The post Penghantaran SMS Bersama URL Disekat Bermula 2 Julai appeared first on Siakap Keli.


