
PADANG BESAR – Pesakit yang menggunakan perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) tidak lagi dikenakan caj penghantaran mulai 1 Oktober ini apabila kos berkenaan ditanggung sepenuhnya kerajaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperuntukkan RM5 juta bagi membantu Kementerian Kesihatan melaksanakan inisiatif itu di seluruh negara.
“Kalau sebelum ini pesakit perlu membayar caj penghantaran ubat melalui pos, mulai 1 Oktober semua yang terlibat dalam program ini tidak lagi perlu berbuat demikian.
“Caj berkenaan akan ditanggung sepenuhnya kerajaan melalui MCMC,” katanya selepas meninjau pelaksanaan Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (Persada) di Klinik Kesihatan Padang Besar, di sini, hari ini.
Menurutnya, inisiatif itu memudahkan pesakit menerima bekalan ubat tanpa perlu hadir ke fasiliti kesihatan, semata-mata untuk mengambilnya.
Dalam perkembangan sama, kerajaan turut mengkaji penggunaan dron bagi penghantaran ubat, khususnya ke kawasan luar bandar, yang mana teknologi itu masih dalam peringkat kajian dan belum dilaksanakan secara meluas.
Beliau berkata, pihaknya sebelum ini meninjau penggunaan dron untuk penghantaran ubat di Sabah bersama pegawai Kementerian Kesihatan.
“Penghantaran ubat melalui dron sedang kita teliti terutama di kawasan luar bandar dan sekiranya sesuai, ia boleh menjadi satu lagi perkhidmatan tambahan kepada rakyat,” katanya.
Katanya, penggunaan teknologi berkenaan juga dilihat mampu memperluas akses perkhidmatan kesihatan kepada penduduk yang tinggal jauh dari fasiliti kesihatan. – KOSMO! ONLINE
The post Penghantaran ubat melalui pos percuma mulai 1 Oktober appeared first on Kosmo Online.



