
Kota Kinabalu: Kira-kira 80,000 pesakit di seluruh negara, khususnya di kawasan pedalaman Sabah, bakal menikmati kemudahan penghantaran ubat secara percuma apabila Kerajaan Persekutuan mengambil alih sepenuhnya kos penghantaran di bawah perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) bermula bulan depan.
Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah menyifatkan langkah itu sebagai “talian hayat” yang tepat pada masanya untuk golongan rentan seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU), pesakit penyakit kronik dan penduduk luar bandar yang sebelum ini terpaksa menanggung kos penghantaran atau melakukan perjalanan jauh bagi mendapatkan bekalan ubat susulan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, mengumumkan bahawa kira-kira 80,000 pesakit setiap bulan akan mendapat manfaat di bawah skim yang dipertingkatkan itu, dengan kos tahunan sebanyak RM5.69 juta ditanggung bersama oleh Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Program itu merupakan kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan MCMC serta akan dilaksanakan di semua negeri.
“Ia bukan sekadar kemudahan, tetapi satu langkah berani ke arah akses penjagaan kesihatan yang lebih adil,” kata Pengerusi YPNM Sabah, David Chan.
Beliau berkata, dalam keadaan harga bahan api dan kos perjalanan yang masih tidak menentu, pengecualian caj penghantaran mampu mengurangkan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat terhadap keluarga yang memerlukan ubat setiap bulan.
Selain penjimatan kos, David berkata perkhidmatan yang dipertingkatkan itu juga membolehkan pesakit mengurangkan perjalanan jauh, mengelakkan tempoh menunggu yang panjang di hospital dan klinik serta memastikan rawatan berterusan, khususnya bagi penduduk di kawasan pedalaman Sabah yang memerlukan masa berjam-jam atau sehingga setengah hari untuk satu perjalanan.
“Langkah ini juga memberi manfaat sampingan; kurang jumlah kenderaan di jalan raya, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan bandar dan jejak karbon selaras dengan matlamat kelestarian,” katanya.
YPNM Sabah turut berpandangan model berkenaan membuktikan kerjasama antara kementerian serta rakan penghantaran dapat menghasilkan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap.
Yayasan itu menggesa Kementerian Kesihatan dan MCMC memantau kualiti perkhidmatan dengan teliti serta memperluaskan kelayakan secara berperingkat supaya lebih ramai rakyat Sabah, khususnya di daerah pedalaman, dapat menikmati manfaat berkenaan. Perkhidmatan kesihatan yang baik tidak seharusnya bergantung kepada sejauh mana seseorang tinggal dari klinik.
“UMP menjadi contoh yang baik dan kami berharap ia menjadi penanda aras kepada semua inisiatif berteraskan rakyat pada masa hadapan,” katanya.
YPNM turut mengingatkan orang ramai bahawa penggabungan inisiatif seperti ini dengan penggunaan pengangkutan awam yang lebih meluas dapat membantu mengurangkan perbelanjaan isi rumah.




