Pengilang Amerika Syarikat kurangkan produk China, beralih kepada pembekal tempatan - AMCHAM

LocalBusiness & Finance
2 Oct 2026 • 5:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengilang Amerika Syarikat kurangkan produk China, beralih kepada pembekal tempatan - AMCHAM Image from: Pengilang Amerika Syarikat kurangkan produk China, beralih kepada pembekal tempatan - AMCHAM amree02/10/2026 - 17:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Okt — Tekanan tinggi tarif Amerika Syarikat (AS) mendorong pengilang negara itu yang beroperasi di Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada input produk dari China, dengan sebahagiannya beralih kepada pembekal tempatan.

 

Dapatan itu berdasarkan Tinjauan Impak Ekonomi terbaharu Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM), yang menunjukkan mereka tidak sekadar menyerap kos tinggi atau meninggalkan Malaysia, sebaliknya menyusun semula strategi perolehan dan operasi.

 

Daripada 21 pengilang yang mendapatkan input dari China, tiada satu pun yang meningkatkan kebergantungan mereka kepada pembekal China selepas tarif tersebut berkuat kuasa, manakala sembilan syarikat atau 43% bertindak mengurangkannya.

 

"Syarikat yang mengurangkan kebergantungan terhadap China itu tertumpu dalam sektor perkhidmatan pembuatan elektronik dan perkakasan berteknologi tinggi, yang secara tradisi mempunyai hubungan rantaian bekalan kukuh dengan China," katanya dalam kenyataan.

 

Pada masa sama, 15 daripada 44 pengilang ditinjau atau 34% meningkatkan bahagian input diperoleh dari Malaysia sebagai tindak balas terhadap tekanan tarif, dan membuka peluang kepada pembekal tempatan mengambil bahagian lebih besar dalam rantaian bekalan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AMCHAM Malaysia, Datuk Siobhan Das memberitahu, sebanyak 86% daripada pengilang menyatakan model perniagaan asas mereka tidak berubah secara ketara meskipun berdepan dengan cabaran gangguan akibat perubahan dasar perdagangan.

 

AMCHAM_DagangNews2026

 

Menurut beliau, syarikat-syarikat AS menerusi tinjauan organisasi tersebut, didapati sudah bertindak mengubah sumber bekalan, harga dan pengeluaran, namun secara asasnya tidak pula mengubah komitmen mereka terhadap operasi di Malaysia.

 

"Tinjauan itu turut menunjukkan 7,087 pembekal tempatan menerima pembayaran berjumlah RM19.32 bilion daripada pengilang pada 2024 dan 2025, dengan 35 syarikat AS yang dikaji menjana 91% daripada jumlah pembekal dan 96% daripada keseluruhan pembayaran," katanya.

 

Malah, jumlah kos projek yang tertanam dalam operasi pengilang AS di Malaysia meningkat hampir 51% kepada RM42.86 bilion berbanding tinjauan terdahulu, merangkumi pelaburan dalam tanah, kilang, mesin dan infrastruktur yang sukar dipindahkan dalam tempoh singkat.

 

Prospek pertumbuhan turut kekal positif apabila 87% responden sektor pembuatan menjangkakan hasil meningkat dalam tempoh dua tahun akan datang, manakala 94% bercadang mengekalkan atau memperluas kehadiran mereka di Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Menariknya, enam pengilang yang mencatatkan penurunan hasil pada 2024/2025 masih menjangkakan pertumbuhan pada masa depan, dengan jumlah kos projek RM6.3 bilion, menunjukkan mereka melihat kelemahan semasa lebih bersifat kitaran berbanding perubahan struktur.

 

"Sementara itu, tiada responden sektor perkhidmatan menyatakan hasrat untuk melupuskan operasi di Malaysia," jelas tinjauan AMCHAM berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved