Pengimbas kargo dijana AI belum tepat, semua imej dianggap sebagai bom - Dewan Rakyat dimaklumkan

LocalTechnology
2 Nov 2026 • 2:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengimbas kargo dijana AI belum tepat, semua imej dianggap sebagai bom - Dewan Rakyat dimaklumkan Image from: Pengimbas kargo dijana AI belum tepat, semua imej dianggap sebagai bom - Dewan Rakyat dimaklumkan amree02/11/2026 - 14:45 Gambar hiasan - Foto BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Nov — Teknologi kecerdasan buatan (AI) digunakan dalam pengimbas kargo di lapangan terbang dan pelabuhan masih belum cukup matang apabila sistem berkenaan kerap gagal mengenal pasti barangan diimbas, malah ada yang melabel hampir semua imej sebagai bahan letupan.

 

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, sistem AI berkenaan masih lagi berada pada peringkat pembelajaran dan memerlukan lebih banyak data tambahan bagi meningkatkan kadar ketepatan pengesanan barangan berbahaya.

 

Beliau menambah, imej yang dihasilkan oleh pengimbas tersebut kadangkala mempunyai tahap kualiti rendah sehingga menyukarkan sistem untuk mengenal pasti objek secara lebih jelas, sekali gus menyebabkan keputusan pengesanan dengan tidak tepat.

 

"Semua dianggap bom. Keadaan itu menunjukkan data digunakan untuk melatih sistem AI masih belum lengkap dan perlu terus ditambah baik menerusi maklumat serta imej daripada proses pemeriksaan sebenar," katanya menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) di Dewan Rakyat.

 

Menjelaskan lebih lanjut, Hasbi menegaskan bahawa AI hanya berfungsi sebagai alat sokongan dan tidak boleh dijadikan sebagai satu-satunya asas untuk meluluskan pelepasan kargo di terminal.

 

Sebaliknya, keputusan pemeriksaan perlu melalui prosedur keselamatan secara menyeluruh, termasuk penilaian imej oleh pegawai pemeriksa, pemeriksaan lanjut jika diperlukan serta pematuhan kepada program keselamatan yang diluluskan.

 

pengimbas_DagangNews2026
Gambar hiasan - BERNAMA

 

Beliau berkata, kakitangan di lapangan sedang mengumpul imej untuk dimasukkan ke dalam sistem AI, dengan sebuah mesin di lapangan terbang sudah menerima kira-kira 15,000 imej, manakala sebuah lagi mempunyai sekitar 8,000 imej.

 

"Bagi mempercepatkan proses pembelajaran teknologi itu, kerajaan mencadangkan perkongsian data daripada negara lain yang sudah ada sistem AI lebih maju menerusi kerjasama dengan Jabatan Kastam serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS)," katanya.

 

Tambah Hasbi, agensi berkaitan juga mungkin perlu menaik taraf pengimbas di pelabuhan berikutan perkembangan teknologi yang berlaku dengan pantas, selain memastikan sistem AI menjalani kemas kini dan pengujian secara berkala.

 

Beliau turut memberi contoh teknologi pengimbasan di Australia yang dilaporkan mempunyai tiga lapisan pemeriksaan, termasuk paparan imej 360 darjah, sekali gus menunjukkan kepentingan penggunaan peralatan lebih canggih bersama kepakaran pegawai keselamatan.

 

Menurutnya, terdapat juga mesin yang mampu membezakan bahan terlarang seperti dadah daripada bahan lain seperti susu tepung menggunakan teknologi tertentu, namun kos peralatannya tinggi dan memerlukan pelaburan besar.

 

"Pelaburan dalam teknologi berkenaan wajar dipertimbangkan kerana keupayaan pengimbasan lebih tepat, ditambah dengan pengalaman petugas keselamatan, penting bagi memperkukuh kawalan keselamatan kargo di lapangan terbang dan pelabuhan negara," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved