PENYALAHGUNAAN kuasa merupakan isu teras dalam ilmu kriminologi kerana ia mencerminkan pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diberikan kepada individu yang memegang autoriti.
Kuasa ibarat pedang bermata dua: walaupun penting untuk mengekalkan ketenteraman sosial, ia juga membuka ruang kepada penyalahgunaan, rasuah, dan eksploitasi sekiranya tidak dikawal dengan baik.
Pemimpin, ahli politik, dan pegawai awam diberikan amanah untuk berkhidmat kepada masyarakat, namun sejarah dan perkembangan semasa menunjukkan bahawa kuasa sering disalahgunakan untuk kepentingan peribadi.
Individu yang berada dalam kedudukan berkuasa seperti ahli politik, eksekutif korporat, dan pegawai kanan kerajaan termasuk penguatkuasaan undang-undang mempunyai sumber serta kuasa membuat keputusan yang membolehkan mereka mengeksploitasi dan memanipulasi sistem demi keuntungan sendiri, sering melalui penipuan, pecah amanah, atau penyelewengan pada skala besar.
Banyak kes berprofil tinggi melibatkan penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin serta pegawai yang mengeksploitasi kedudukan mereka untuk kepentingan peribadi, keluarga, atau politik seperti rasuah, pilih kasih, dan penyelewengan dana dandihukum di bawah Akta SPRM 2009.
Penyalahgunaan kuasa berprofil tinggi lazimnya melibatkan pemimpin dan penjawat awam tidak beretika yang menyeleweng berbilion ringgit dengan menyalahgunakan kedudukan mereka demi kepentingan politik, manfaat peribadi, atau pihak berkepentingan melalui amalan seperti rasuah, kronisme dan penyelewengan dana awam—semuanya merupakan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.
Wang yang diperoleh secara tidak sah akan “dibersihkan” supaya kelihatan sah, contohnya dengan melabur dalam perniagaan seperti restoran. Perniagaan sebegini boleh digunakan untuk menyembunyikan aliran wang sebenar walaupun tidak mempunyai ramai pelanggan.
Selain itu, wang tersebut juga digunakan untuk membeli aset mewah dan membiayai gaya hidup peribadi, bukannya digunakan untuk kepentingan awam seperti yang sepatutnya. Hal ini menyebabkan kerugian besar kepada sektor awam dan menjejaskan ekonomi negara. Ramai yang terlibat sama ada sedang menjalani hukuman penjara atau menunggu perbicaraan.
Kes-kes ini lazimnya disusuli dengan pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), apabila hasil haram disyaki telah dicuci atau disamarkan sebagai aset sah. Hukuman di bawah akta ini adalah sangat berat.
AMLA merupakan instrumen perundangan yang berkuasa dan berkesanyang membolehkan pihak berkuasa membekukan, menyita dan melucutkan hak aset daripada aktiviti haram, selalunya sebelum sabitan dibuat. Pendekatan ini mensasarkan jenayah kewangan dengan memberi tumpuan kepada hasil haram, bukan sekadar menghukum pesalah.
Namun begitu, kuasa penguatkuasaan yang luas ini turut menimbulkan kebimbangan kerana berpotensi disalahgunakan, sekali gus boleh memberi kesan kepada pihak yang tidak bersalah sebelum kesalahan dibuktikan. Oleh itu, pelaksanaan AMLA perlu dipantau dengan rapi bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan terhadap pihak yang tidak bersalah.
Selain itu, apabila kuasa terlalu tertumpu kepada seseorang, ia menjadi sukar dikawal dan boleh membawa kepada rasuah serta penyalahgunaan kuasa. Tanpa akauntabiliti, pemimpin mungkin bertindak secara mementingkan diri, tidak beretika, atau menyalahgunakan kuasa mereka, bukannya berkhidmat kepada rakyat.
Negarawan Edmund Burke pernah menyatakan bahawa semakin tinggi kuasa, semakin besar risiko penyalahgunaannya. Ahli politik dan individu sering membuat pelbagai janji, namun watak sebenar mereka hanya terserlah apabila memperoleh kuasa mutlak. Seperti yang dinyatakan oleh Lord Acton, “Kuasa cenderung untuk merosakkan, dan kuasa mutlak merosakkan secara mutlak,” yang memberi amaran bahawa kuasa tanpa kawalan boleh membawa kepada keruntuhan moral, apabila kepentingan peribadi mengatasi kepentingan umum.
Tadbir urus ditentukan oleh cara kuasa digunakan yang bergantung pada peraturan, mekanisme semak dan imbang, akauntabiliti, serta kepimpinan beretika. Penyalahgunaan kuasa mudah berlaku dalam persekitaran yang lemah penguatkuasaannya dan bersifat pilih kasih.
Apabila kuasa disalahgunakan, dasar akan diputarbelitkan, pengawasan menjadi lemah, dan institusi kehilangan kredibiliti. Integriti merupakan asas kepada kepimpinan beretika yang menggalakkan keadilan, akauntabiliti, dan pengukuhan institusi.
Ketiadaan integriti membuka ruang kepada rasuah. Namun demikian, seperti yang ditekankan oleh ahli kriminologi, penyalahgunaan kuasa dapat dicegah melalui kepimpinan beretika, akauntabiliti, ketelusan dan pengawasan yang berkesan bagi memastikan kuasa digunakan untuk menegakkan keadilan serta membina masyarakat yang berteraskan integriti.
*Datuk Seri Dr Akhbar Satar ialah Profesor Kriminalogi dan Keadilan Jenayah Universiti HELP
