Penguatkuasaan, Pemantauan Peringkat Tertinggi Perlu Dilaksana Secara Menyeluruh - PM

LocalPolitics
30 Jan 2026 • 5:34 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Penguatkuasaan menyeluruh dan pemantauan di peringkat tertinggi perlu dilaksanakan secara berterusan.

Mengarahkan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi memastikan pelaksanaan dasar kerajaan benar-benar berkesan.

Menurut beliau, perkara tersebut telah dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet hari ini, termasuk meneliti aspek penguatkuasaan di peringkat Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Kami telah mengadakan mesyuarat Kabinet sebelum ini untuk membincangkan penguatkuasaan dan saya tahu bahawa beberapa tindakan telah diambil, tetapi tidak mudah untuk berpuas hati, bagi memastikan ia dilaksanakan di setiap peringkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid QR Rahman, Taman Greenwood, Gombak.

Jelas  Perdana Menteri, kerajaan sedar bahawa terdapat tindakan yang telah dan sedang diambil, khususnya di peringkat bawahan melibatkan aspek kebersihan, pelaksanaan serta penguatkuasaan.

“Hanya dengan pendekatan menyeluruh negara ini dapat diperbaiki. 

“Walau bagaimanapun, sebenarnya kerosakan sering bermula dari atas, dari peringkat atasan,” katanya.

Dalam hal ini tegas beliau, kuasa di peringkat tertinggi termasuk ketua agensi, ketua pengarah, pengarah dan semua menteri perlu dipantau dengan teliti.

Pada masa sama katanya, perhatian serius juga perlu diberikan di peringkat bawahan melibatkan isu gerai, pelaksanaan kebersihan dan kemasukan pekerja asing yang tidak mematuhi peraturan.

“Ia juga mencakupi pelanggaran undang-undang dan situasi warga asing yang bekerja dan menerima bantuan tanpa mengikuti prosedur ditetapkan,” katanya.

Anwar berkata,  beliau telah mengarahkan agar tindakan yang diumumkan beberapa hari lalu diteruskan.

“Kita mahu sehingga ia benar-benar memberi impak positif bukan sahaja kepada rakyat, tetapi juga kepada negara,” katanya. – Getaran, 30 Januari 2026