Pengukuhan margin kasar serta peluasan operasi ke Indonesia, Kemboja dijangka pacu pertumbuhan Farm Fresh - CGSI

LocalBusiness & Finance
17 Dec 2025 • 10:59 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengukuhan margin kasar serta peluasan operasi ke Indonesia, Kemboja dijangka pacu pertumbuhan Farm Fresh - CGSI
image is not available
liza17/12/2025 - 10:59 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Dis – Farm Fresh Berhad dijangka mencatat pertumbuhan kukuh dalam beberapa tahun akan datang, disokong oleh pelancaran produk baharu dan pengembangan ke pasaran antarabangsa, menurut CGS International. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘Pegang’ terhadap Farm Fresh dengan harga sasaran baharu RM2.82, naik daripada RM1.98 sebelum ini, selepas mengkaji semula unjuran keuntungan bersih teras (CNP) susulan keputusan kewangan 2QFY2026 yang lebih baik dari jangkaan.

 

“Peningkatan unjuran ini disokong oleh langkah Farm Fresh memasuki pasaran Kemboja, memperkenalkan produk ais krim baharu dengan pengedaran yang lebih luas, serta margin kasar yang lebih tinggi daripada jangkaan. 

 

“Sektor ais krim kini menyumbang kira-kira 12% daripada hasil suku kedua FY26, sejak pelancarannya pada Ogos 2024,” kata CGSI dalam nota kajiannya.

 

Firma tersebut berkata Farm Fresh sedang meninjau penubuhan kilang dan ladang di Kemboja dan berada di peringkat awal menubuhkan operasi di Indonesia.

 

“Peningkatan pengeluaran ais krim bermargin tinggi dijangka menyokong margin kasar Kumpulan daripada 32.1% pada FY25 kepada 34.8% pada FY29F.

 

“Selain itu, prestasi Farm Fresh di Kemboja juga dilihat memberangsangkan, dibantu oleh boikot produk dari Thailand di negara itu. Kumpulan kini sedang menilai penubuhan kilang dan ladang di Kemboja, di samping berada pada peringkat awal untuk mengembangkan operasi ke Indonesia,” katanya.

 

Dari segi margin, CGS International berkata pengukuhan ringgit, penurunan harga serbuk susu penuh krim (WMP) dalam denominasi dolar AS serta peralihan kepada campuran produk bermargin tinggi seperti aiskrim dijangka terus menyokong keuntungan kumpulan.

 

“Margin keuntungan kasar Farm Fresh dianggarkan meningkat kepada 34.8% menjelang FY2029, berbanding 33.6% pada 2QFY2026,” katanya.

 

Walaupun prospek pertumbuhan dilihat positif, CGS International mengekalkan saranan ‘Pegang’ kerana penilaian semasa saham Farm Fresh, yang didagangkan pada kira-kira 29.2 kali P/E CY2027F, dianggap telah mengambil kira pertumbuhan pendapatan masa hadapan.

 

“Risiko utama termasuk cabaran permulaan operasi di pasaran baharu, potensi kerugian awal, kelemahan ringgit serta kenaikan kos bahan mentah,” katanya.

 

Dari segi ESG, Farm Fresh mencatat penambahbaikan dalam pengurusan sisa ternakan dan penggunaan sumber lestari, termasuk penurunan sisa haiwan sebanyak 29.9% dan peningkatan kitar semula air sisa ternakan sebanyak 32.1% pada FY25. Syarikat turut menekankan penggunaan bahan mentah segar dan tiada bahan pengawet dalam produknya.

 

Dalam unjuran kewangan, Farm Fresh dijangka mencatat pendapatan RM1.16 bilion pada FY26F, meningkat kepada RM1.45 bilion menjelang FY28F. Keuntungan bersih teras juga dijangka meningkat daripada RM149.5 juta pada FY26F kepada RM213 juta pada FY28F, mencerminkan pertumbuhan EPS tahunan sebanyak 30.7% hingga FY27F. - DagangNews.com

Terkini standard