Pengukuhan nilai ringgit tidak beri kesan kepada pendapatan syarikat hartanah - MIDF Research

LocalBusiness & Finance
8 Aug 2024 • 9:42 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengukuhan nilai ringgit tidak beri kesan kepada pendapatan syarikat hartanah - MIDF Research

herman

08/08/2024 - 09:42

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Pengukuhan nilai ringgit dijangka hanya memberi kesan minimum kepada syarikat hartanah kecuali bagi syarikat yang terdedah kepada pasaran luar negara.

MIDF Research berkata, namu secara keseluruhannya, sumbangan pendapatan syarikat hartanah kebanyakannya daripada projek tempatan.

Oleh itu, firma penyelidikan tersebut tidak menjangkakan kesan pendapatan yang signifikan daripada pengukuhan nilai ringgit.

"Perlu diperhatikan bahawa IOI Properties Group mempunyai pendedahan di China dan Singapura. S P Setia mempunyai pendedahan di Australia dan United Kingdom, manakala Sunway Berhad mempunyai pendedahan di Singapura dan China.

"Berdasarkan analisis sensitiviti pendapatan terhadap perubahan forex, kesan setiap pengukuhan ringgit sebanyak 1% dijangka mempunyai kesan pendapatan yang minimum, kurang daripada 3% kepada pendapatan FY24 syarikat hartanah," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Ringgit baru-baru ini mengukuh untuk 11 hari berturut-turut dan pada jam 9 pagi ini, ringgit berada pada RM4.4840 berbanding dolar AS.

Sementara itu, MIDF Research mengekalkan saranan 'Positif' terhadap sektor hartanah memandangkan prospek positif untuk sektor itu kerana permintaan asas untuk hartanah kekal sihat.

Firma penyelidikan tersebut juga menjangkakan pemaju hartanah akan melaporkan pertumbuhan pendapatan pada suku kedua tahun kewangan 2024 yang akan datang.

"Ini adalah berikutan pengiktirafan yang lebih tinggi daripada projek hartanah apabila isu kekurangan buruh diselesaikan manakala prospek pendapatan juga disokong oleh peningkatan jualan hartanah baru.

"Pilihan utama kami untuk sektor ini adalah Mah Sing Group (Beli, TP: RM1.97) dan Matrix Concepts (Beli, TP: RM2.22)," jelasnya.

MIDF Research menyukai Mah Sing kerana prospek jualan barunya kekal teguh, didorong oleh permintaan yang kuat untuk projek perumahan mampu miliknya.

"Selain itu, kunci kira-kira yang sihat dengan nisbah hutang bersih yang rendah sebanyak 0.06x memberikan kekuatan kewangan kepada kumpulan untuk melaksanakan pengumpulan tanah secara agresif, dengan pengambilalihan tanah terbaru di Taman Desa yang diumumkan baru-baru ini.

"Sementara itu, usaha pusat datanya berjalan dengan baik kerana Mah Sing sedang dalam perbincangan lanjut dengan pemain pusat data lain untuk parcel tanah kedua di Mah Sing DC Hub @ Southville City.

"Kami juga menyukai Matrix Concepts kerana kami melihat pemangkin pendapatan yang kuat daripada 2,382 ekar tanahnya di MVV 2.0," ujarnya.- DagangNews.com