Pengukuhan ringgit berbanding dolar AS terus beri tekanan kepada margin SLP Resources - Kenanga

12/08/2025 - 15:32
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 12 Ogos - Pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dijangka terus memberi tekanan kepada margin SLP Resources Berhad kerana jualan eksport dalam segmen pembuatan menyumbang lebih 50% hasil kepada kumpulan, kata Kenanga Research.
Katanya, nilai ringgit akan mengukuh secara beransur-ansur berbanding dolar AS daripada RM4.23 kepada purata RM4.02 menjelang tahun 2026.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun tempahan dari Jepun bagi beg dapur dan beg sampah kekal stabil tetapi pada masa sama menjangkakan permintaan terhadap produk pembukusan plastik SLP di Malaysia kekal mencabar berikutan gangguan tarif dan saingan.
"Walaupun kesan langsung daripada tarif AS adalah minimum memandangkan eksport ke AS menyumbang kurang daripada 3% daripada jumlah hasilnya," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, SLP Resources mencatatkan untung bersih sebanyak RM5.5 juta bagi 1HFY25, bersamaan dengan pendapatan asas sesaham sebanyak 1.58 sen. Ini merupakan penurunan berbanding RM8.2 juta dalam 1HFY24.
Sementara itu, hasil bagi 1HFY25 susut 2% kepada RM80.9 juta, apabila peningkatan jualan eksport sebahagian besarnya diimbangi kadar pertukaran mata wang yang kurang menguntungkan serta sumbangan lebih lemah daripada pembuatan domestik.
Syarikat juga terbeban oleh kenaikan kos operasi susulan kenaikan gaji minimum negara yang berkuat kuasa pada Februari lalu.
Bagi suku 2QFY25, SLP Resources mencatatkan hasil sebanyak RM39.8 juta, menurun berbanding RM41.7 juta pada suku yang sama tahun lalu manakala untung bersih bagi suku tersebut merosot sebanyak 46.4% tahun ke tahun kepada RM1.7 juta.
Kenanga Research berkata secara keseluruhan, selepas kelemahan eksport ke Jepun pada tahun 2023, tempahan telah pulih susulan usaha pemasaran terkini yang masih diteruskan oleh SLP Resources.
Oleh itu, firma itu menjangkakan Jepun akan kekal sebagai pasaran eksport terbesar bagi SLP Resources, merangkumi 30% hingga 40% daripada jualan produk pembungkusan plastiknya.
"Pemangkin pendapatan bagi SLP Resources kekal pada kemajuan berterusan dalam pembangunan produk baharu bagi komponen peranti berkaitan perubatan, yang menawarkan margin lebih tinggi untuk pelanggan antarabangsa. Pihak pengurusan menyasarkan pemuktamadan pada suku pertama 2026," katanya.
Firma penyelidikan itu, yang menetapkan harga sasaran sebanyak 89 sen bagi SLP Resources, menyukai kumpulan ini kerana fokusnya terhadap segmen bermargin tinggi dan kurang komoditi, aliran tunai yang kukuh, kunci kira-kira yang mantap, serta usaha niaga baharu dalam komponen peranti perubatan yang menawarkan margin lebih tinggi.
"Kami menyemak turun penarafan kepada "market perform" dengan harga sasaran (TP) 89 sen," katanya.- DagangNews.com
standard
