Pengumpulan data taksiran kerugian mangsa banjir Baling siap bulan ini

13 Jul 2022 • 3:30 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BALING: Kerja pengumpulan data taksiran kerugian keseluruhan dialami penduduk yang terjejas dengan kejadian banjir dan kepala air di daerah ini untuk proses pemberian bantuan dijangka siap pada bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Baling Mohd Shahadan Abdullah berkata laporan penuh taksiran kerugian itu akan disiapkan secepat mungkin untuk diberikan kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Kita sasarkan supaya selesai laporan kita, maka pihak berwajib akan lebih cepat menyalurkan bantuan wang ihsan kepada penduduk terlibat,“ katanya pada sidang media selepas mengiringi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon melawat kawasan bencana itu di sekitar Kampung Iboi dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shahadan yang juga Pegawai Daerah Baling berkata beliau difahamkan mangsa dari 16 rumah yang rosak teruk sekali gus tidak boleh didiami lagi telah pun mendapat premis sewa masing-masing.

“Mereka cari sendiri rumah itu, kita (kerajaan negeri) bayar sewa selama enam bulan,“ katanya yang turut memaklumkan penyampaian bantuan sewaan rumah itu akan disempurnakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, esok.

Dalam kejadian banjir pada 4 Julai lepas itu, sebanyak 41 kawasan terjejas serta mengorbankan tiga nyawa termasuk seorang ibu hamil berusia 23 tahun.-Bernama