
Pengumuman Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi (MCMC) bahawa semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial tertakluk kepada kerangka pelesenan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) perlu difahami dengan adil.
Penggiat seni, Datuk Afdlin Shauki Aksan berkata, pengumuman MCMC itu disifatkan sebagai satu titik persimpangan penting antara keperluan kawal selia dan kebebasan bersuara.
Menurut beliau, kerajaan tidak boleh terus berpeluk tubuh, dalam dunia digital yang semakin liar dan dipenuhi penipuan, eksploitasi kanak-kanak, ekstremisme, fitnah serta manipulasi algoritma.
“Platform besar dengan jutaan pengguna tidak boleh lagi bersembunyi di sebalik status neutral platform sedangkan mereka meraih keuntungan besar daripada kandungan dan data rakyat Malaysia.
“Dari sudut ini, usaha mewajibkan pendaftaran dan pelesenan adalah langkah ke arah akauntabiliti,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Afdlin yang juga Ketua PKR Cabang Setiawangsa berkata, ramai penggiat kreatif termasuk dirinya sendiri bimbang dengan kaedah pelaksanaan dasar tersebut.
“Sejarah mengajar kita bahawa undang-undang yang niatnya baik boleh menjadi alat yang tumpul atau berbahaya jika ditafsir secara longgar, dikuatkuasakan secara selektif, atau digunakan untuk mengekang kritikan, satira, seni dan wacana awam.
“Media sosial bukan sekadar ruang hiburan. Ia adalah ruang awam baharu, pentas demokrasi baharu, tempat suara kecil boleh didengari tanpa perlu lesen akhbar atau stesen TV,” katanya.
Afdlin berkata, jika pelesenan itu akhirnya mencipta culture of fear, penapisan kendiri berlebihan atau algoritma yang “terlebih patuh” sehingga membunuh perbincangan kritikal, maka ia sebenarnya sedang mencederakan roh masyarakat madani yang cuba diterap oleh Perdana Menteri.
“Saya juga ingin tekankan bahawa masalah kandungan tidak boleh diselesaikan dengan pendekatan undang-undang semata-mata.
“Literasi digital, pendidikan media, pengukuhan nilai keluarga dan kebertanggungjawaban komuniti adalah sama penting malah mungkin lebih berkesan dalam jangka panjang,” katanya.
Masyarakat yang matang jelasnya lagi, bukan terdiri daripada mereka yang senyap tetapi yang berani bercakap dan mampu berfikir.
“Negara kuat bukan yang paling banyak menutup kesilapan, tetapi yang paling yakin menghadapi suara rakyatnya walaupun suara itu pedas, tidak selesa dan kadang-kadang menggoncang tampuk kuasa.
“Kesimpulannya, saya melihat langkah MCMC ini sebagai alat. Alat boleh membina rumah dan alat juga boleh merobohkannya.Yang menentukan hasilnya bukan akta, bukan lesen tetapi niat, ketelusan dan keberanian untuk tidak menyalahgunakan kuasa,” katanya. - Getaran, 16 Disember 2025

