
KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memberi bayangan pengumuman bakal dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu kejutan yang dijangka menggembirakan rakyat khususnya penjawat awam.
"Ia satu kejutan tetapi akan menggembirakan rakyat.
"Kalau ia untuk penjawat awam, ia akan menggembirakan penjawat awam, Insya-ALLAH," katanya ringkas.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu poster yang dimuat naik Perdana Menteri di Facebook rasminya semalam, yang menyentuh mengenai 'penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia'.
Poster sama turut dikongsi di laman rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Bagaimanapun, Shamsul Azri tidak mahu mengulas lanjut mengenai pengumuman itu dan meminta semua pihak bersabar.
"Saya bukan 'magician'. Tunggu, tunggu kerana ia surprise.
"Perkara itu berkunci penuh, tidak dapat dibuka," selorohnya selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Tindakan Antarabangsa Ketiga Azman Hashim International Business School (AHIBS-ACT) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Selasa.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Intan Zaurah Mat Darus serta Pengerusi AHIBS-ACT, Profesor Madya Dr Haliyana Khalid.
Tambah Shamsul Azri, beliau menyerahkan kepada kerajaan untuk menentukan masa paling sesuai bagi membuat pengumuman rasmi.
Terdahulu, Perdana Menteri dalam satu hantaran di Facebook menyatakan bahawa satu 'pengumuman penting' akan dibuat tidak lama lagi, yang dilihat sebagai bentuk 'hadiah' kepada rakyat.
Setakat ini, tiada butiran rasmi didedahkan namun ramai pihak menjangkakan pengumuman itu berunsur kejutan menjelang sidang Parlimen akan datang.
Difahamkan, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan tertutup bersama pimpinan Pakatan Harapan (PH) semalam bagi membincangkan pelbagai isu semasa.
Sesi perbincangan itu termasuk persiapan menghadapi sidang Parlimen. Ia susulan sesi libat urus bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang diadakan Jumaat lalu.

