Pengumuman PM diyakini tingkatkan pendapatan boleh guna secara langsung sebanyak RM2.8 bilion - AmInvest

24/07/2025 - 11:49
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 24 Julai - Langkah-langkah yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini meningkatkan pendapatan boleh guna secara langsung sebanyak RM2.8 bilion menerusi penurunan kos sara hidup asas dan pemberian tunai secara langsung, kata AmInvestment Bank Research (AmInvest).
Katanya, langkah yang diumumkan kerajaan termasuk bantuan tunai sekali sahaja sebanyak RM100 kepada individu berusia 18 tahun ke atas di bawah inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA), pengembangan Jualan Rahmah MADANI, pembekuan kenaikan tol dan rasionalisasi subsidi RON95.
"Langkah-langkah ini dijangka menyokong penggunaan jangka pendek, khususnya dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana," katanya dalam satu nota kajian.
AmInvest berkata, pemberian SARA untuk semua akan memberikan kredit sekali beri yang boleh digunakan di lebih 4,100 peruncit yang mengambil bahagian.
Katanya, Program Jualan Rahmah MADANI pula menerima lonjakan ketara dengan peruntukannya digandakan kepada RM600 juta.
Selain itu, kerajaan membekukan kenaikan tol bagi sepuluh lebuh raya, menjimatkan lebih RM500 juta kepada rakyat.
Harga petrol RON95 pula diturunkan kepada RM1.99 seliter daripada RM2.05 seliter di bawah skim subsidi bersasar, memberi manfaat kepada 18 juta pengguna jalan raya.
"Bagaimanapun, mekanisme bagi pelaksanaan subsidi bersasar RON95 masih belum jelas pada ketika ini," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "neutral" terhadap sektor pengguna dengan 99 Speed Mart Berhad menjadi penerima manfaat utama selain MR DIY Group (M) Berhad dan Spritzer Berhad.
Katanya, 99 Speedmart paling menyerlah disebabkan oleh kelebihan kos hasil skala besar dan kuasa penawaran yang kukuh terhadap pembekal.
"MR DIY masih mempunyai ruang pertumbuhan yang luas, dengan pelancaran jenama pelengkap seperti KKV, The Colorist dan X11, yang dijangka akan mengembangkan jumlah pasaran yang boleh diterokainya," katanya.- DagangNews.com
standard


