Pengundi M’sia pilih kerajaan baharu ketika ekonomi terus pulih

Politics
17 Nov 2022 • 9:26 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia akan keluar mengundi pada Sabtu (19 Nov) untuk memilih kerajaan baharu ketika negara semakin pulih daripada tiga masalah - pandemik Covid-19, krisis geopolitik global, dan perubahan iklim yang telah banyak menjejaskan mata pencarian negara dengan 32 juta penduduk itu.

Selepas berhari-hari berkempen, Barisan Nasional (BN) yang memerintah sebelum ini yakin dapat muncul semula dan melantik semula Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua, memandangkan kejayaannya yang memberangsangkan dalam meletakkan ekonomi kembali di landasan yang betul selain menyediakan pekerjaan untuk beribu-ribu penduduk yang telah kehilangan pekerjaan semasa pandemik.

Mengambil alih tampuk pemerintahan ketika ekonomi negara menjunam kepada pertumbuhan negatif pada Ogos 2021, Ismail Sabri berjaya memulihkan ekonomi dalam tempoh hanya 15 bulan dan kebanyakan sektor ekonomi kemudiannya menunjukkan arah aliran menaik.

Ahli ekonomi kagum dengan prestasinya. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat 14.2 peratus pada suku ketiga (S3) tahun ini berbanding 8.9 peratus pada S2 2022 dan 5.4 peratus pada S1 2022.

Jumlah aliran masuk Pelaburan Langsung Asing (FDI) bersih Malaysia untuk sembilan bulan pertama berjumlah RM54 bilion berbanding RM29.7 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas, melebihi paras yang dicatatkan sebelum wabak itu.

Jumlah dagangan mencatatkan pertumbuhan dua angka pada September 2022, berkembang sebanyak 31.4 peratus, mencecah RM256.9 bilion berbanding RM195.5 bilion pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, eksport meningkat 30.1 peratus kepada RM144.3 bilion pada September 2022 manakala import berjumlah RM112.6 bilion, meningkat 33.0 peratus tahun ke tahun (y-o-y).

Imbangan dagangan terus mencatat lebihan, dengan nilai RM31.7 bilion, meningkat 20.9 peratus daripada tahun sebelumnya.

Dasar Ismail Sabri membolehkan negara mencatat pertumbuhan yang lebih baik serta mengekalkan inflasi, dengan kadar inflasi 4.5 peratus pada September berbanding 4.7 peratus pada Ogos, walaupun terpaksa membelanjakan RM77.7 bilion untuk subsidi bagi mengawal harga barangan makanan yang melonjak disebabkan oleh pemanasan global dan konflik Ukraine-Rusia.

Atas sebab ini kepimpinan parti secara kolektif bersetuju untuk menamakan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke-10 negara sekiranya parti itu kembali berkuasa.

Prestasi ekonomi Malaysia sedang dipantau rapi oleh pakar ekonomi asing seperti Shan Saeed yang menyifatkan Ismail Sabri sebagai pemimpin berorientasikan tindakan dan menyampaikan hasil ekonomi yang telah mewujudkan keyakinan pelabur.

“Pelabur mengharapkan kesinambungan dan ini dapat dilihat dalam tempoh satu setengah tahun yang lalu. Kerajaan telah dapat mengekalkan kedudukan ekonomi yang konsisten. Mereka telah menyediakan rangka kerja dan membiarkan sektor swasta mengurus ekonomi,” kata Saeed, Ketua Pakar Ekonomi dengan Juwai IQI yang berpangkalan di Dubai, sebuah kumpulan teknologi hartanah antarabangsa yang terlibat dalam transaksi dan pemilikan hartanah di peringkat tempatan dan global.

Saeed percaya kerajaan Malaysia telah menyediakan kerangka dasar dan keyakinan ekonomi kepada rakyat yang seterusnya telah menarik FDI ke negara ini kerana dasarnya yang konsisten.

“Antara pencapaian Ismail Sabri ialah mengekalkan kestabilan makroekonomi dan keyakinan ekonomi dalam negara, pelabur global seperti kami dan ramai lagi, melihat kestabilan makroekonomi mungkin pembolehubah paling penting, sama seperti yang telah dilakukan oleh kerajaan Ismail Sabri,” katanya.

Kesinambungan dasar juga sama penting dalam memastikan pertumbuhan secara berstruktur dan pelabur lebih suka orang berpengalaman yang memahami ekonomi dan boleh memacu ekonomi dengan cara yang lebih profesional.

Malaysia kini berada pada kedudukan kedua di Asean, mendahului Singapura dan Indonesia dan ekonomi lain daripada segi bagaimana kerajaan berjaya sejak September, kata Saeed sambil menambah bahawa tumpuan utama adalah untuk mendapatkan penduduk divaksinasi, dan oleh itu 98.99 peratus daripada penduduknya telah diberi vaksin.

Menurut beliau, atas inisiatif inilah kerajaan Malaysia mampu membuka ekonomi mendahului negara jiran utara dan selatan. Yang lain bergelut namun Malaysia menjadi negara pertama membuka ekonominya menyediakan rangsangan dan sekali gus memberi isyarat positif kepada pelabur global bahawa Malaysia bersedia untuk membuka perniagaan.

Beliau mengakui kerajaan Malaysia telah melakukan “kerja yang cukup baik” dalam menyusun strategi ekonominya ketika ekonomi global berada di ambang kemelesetan besar-besaran dan sistem semakin lemah.

“Sebagai contoh, harga minyak dan harga arang batu meningkat manakala pasaran bon dan ekuiti semakin lemah. Apa yang kerajaan lakukan telah memberi keyakinan kepada pelabur tempatan. Sebaik sahaja anda yakin dengan pelabur tempatan barulah FDI akan muncul, katanya.

“Apabila Intel membuat pelaburan terbesar di rantau Asean sebanyak AS$7.5 bilion (RM30 bilion) termasuk Malaysia, itu memberikan isyarat positif bukan sahaja kepada rantau ini, malah juga kepada pelabur global bahawa Malaysia sedang bergerak. Dan itulah sebab ramai pelabur kembali ke Malaysia,” katanya.

Faktor lain yang menarik perhatian pelabur ialah dasar Ismail Sabri dalam membendung gejala rasuah dalam pentadbirannya.

“Beliau berkata tiada siapa yang boeh mengatasi undang-undang, dan semua orang perlu mematuhi undang-undang dan perdana menteri telah membuktikan kata-katanya apabila seorang bekas pemimpin negara didakwa di mahkamah kerana rasuah, kerajaan tidak campur tangan. Kedaulatan undang-undang kukuh, badan kehakiman kukuh di Malaysia,” tambahnya.

Beliau berkata apabila badan kehakiman kukuh, ia memberi isyarat positif kepada pelabur global dan juga kepada pelabur tempatan.

Kira-kira 945 calon yang mewakili pelbagai parti politik akan bertanding di 222 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 pada Sabtu ini. Parti yang memenangi majoriti mudah 112 kerusi akan membentuk kerajaan seterusnya. Namun, sekiranya ada parti yang gagal mendapatkan kerusi yang diperlukan, pilihan seterusnya ialah parti politik membentuk kerajaan campuran.-Bernama